PRN Sarawak: Anak arwah Tok Nan bakal bertanding

LUNDU - Anak bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan), Azizul Annuar Adenan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu dibuat kerana penyandang kerusi tersebut yang juga balu kepada Tok Nan iaitu Datuk Amar Jamilah Anu mahu mengundur diri serta memberikan ruang kepada Azizul.

“Kami di Parti Pesaka Bumiputera (PBB) sendiri mahu orang muda... adalah wajar kami memberi laluan kepada anaknya untuk meneruskan wawasannya (Allahyarham Adenan Satem). Saya rasa beliau (Azizul) sudah bersedia, beliau berbakat, mempunyai latar belakang. Saya tak kisah nak bagi tahu, beliau ada karakter, macam bapa dia juga.

“Saya beri bayangan tadi dan saya akan sahkan pada 3 Disember nanti. Selalunya bayang-bayangan akan jadi benar,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Teknikal SarawakCentex Lundu di sini.

Semasa berucap pada majlis itu, Abang Johari berkata pada PRN kali ini, beliau mahu menampilkan calon orang muda kerana mereka berpotensi di samping melatih mereka untuk memimpin Sarawak di masa hadapan.

“Kami (GPS) bagi pendedahan bagaimana untuk menguruskan politik yang stabil, bagaimana menguruskan pembangunan yang memberikan kesan kepada rakyat... apakah kualiti pimpinan yang mesti ada, Alhamdulilah kita dalam parti (PBB) kita ada pimpinan yang kita latih.

“Kita bekerja dalam satu pasukan, lagi-lagi pasukan besar bernama GPS, bukan senang memimpin Sarawak ... kita mesti adil kerana rakyatnya berbilang kaum, agama, budaya dan keturunan,” katanya.

Jamilah Anu menang kerusi DUN Tanjong Datu pada Pilihan Raya Kecil pada 2017, menggantikan Allahyarham Adenan yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :