Isu harga barang terkesankah pengundi Sarawak

 

Kenaikan harga barangan terutamanya melibatkan barang basah sejak kebelakangan ini sudah pasti memberi kesan kepada pengguna yang rata-ratanya masih tertekan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Permasalahan ini semestinya dirasai rakyat dan jadi bahan bualan di kedai-kedai kopi, malah keriuhan di Dewan Rakyat pada Selasa turut berkisar isu yang sama.

Sebagai respon,  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyatakan akan sentiasa memantau harga barangan keperluan terutamanya makanan serta keperluan asas.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peningkatan kos operasi syarikat penternakan, kos import, kenaikan harga baja dan racun merupakan antara punca yang menyumbang kepada kenaikan harga produk itu di pasaran ketika ini.

Justeru Nanta berkata  pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dalam usaha mengawal harga jualan serta harga runcit khususnya di peringkat pengeluaran.

 

Modal kempen

Apa yang menjadi persoalan kini, adakah isu kenaikan harga barangan tersebut bakal mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal berlangsung pada 18 Disember depan?

Jika dilihat semula, setiap isu yang hangat pastinya bakal menjadi bahan oleh setiap parti yang bertanding untuk dijadikan 'modal' semasa proses berkempen.

Jadi, boleh dikatakan tidak mustahil isu ini bakal menjadi modal khususnya kepada parti pembangkang di Sarawak memandangkan KPDNHEP kini diketuai Nanta yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sebelum ini, Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg pernah menyatakan bahawa GPS akan menjadi suara bagi rakyat dan memastikan hak masyarakat di Sarawak dapat terus diperjuangkan.

Jadi situasi yang berlaku kini tidak mustahil akan dijadikan senjata utama oleh pembangkang dalam percubaan mengetepikan GPS pada pilihan raya kali ini bagi membentuk sebuah kerajaan baharu.

Semestinya bakal ada suara yang akan mengatakan wakil GPS di parlimen dan mengetuai sesebuah kementerian gagal, bukan sahaja untuk membantu rakyat Sarawak bahkan juga gagal untuk membela nasib rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Alexander Nanta LinggiPRN Sarawak
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :