Calon-calon Bebas dalam mana-mana pilihan raya sering kali hanya dianggap sebagai pelengkap bagi memeriahkan acara.
Ini kerana, calon-calon yang bertanding dalam satu-satu parti politik dilihat lebih dominan untuk menjadi pilihan memandangkan kebanyakan parti mempunyai penyokong akar umbi dan pengundi tersendiri selain sistem yang sudah dipraktikkan lama.
Contoh terdekat adalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu apabila kesemua 22 orang calon yang bertanding atas tiket Bebas gagal memikat hati pengundi untuk bergelar pemenang walaupun ada di antaranya adalah bekas Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN).
Lebih malang, kesemua mereka hilang wang deposit kerana tidak mencapai jumlah undian memadai, iaitu melebihi satu per lapan daripada keseluruhan kertas undi yang dikira di kawasan yang ditandingi.
Situasi ini walau bagaimanapun mungkin tidak sama di Malaysia Timur iaitu di Sabah dan Sarawak.
Calon-calon Bebas di dua wilayah itu kelihatan lebih ‘laku’ berbanding rakan-rakan mereka di Semenanjung apabila terdapat beberapa calon Bebas di sana yang bukan sahaja tidak hilang wang deposit mereka, malah berjaya memenangi pilihan raya dengan cukup bergaya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), dua calon bebas iaitu Larry Sng Wei Shien dan Jugah Muyang berjaya memenangi kerusi masing-masing di parlimen Julau dan Lubok Antu.
Pada persaingan satu lawan satu di Parlimen Julau, Wei Shien berjaya menundukkan calon dari Barisan Nasional (BN), Joseph Salang Anak Gandum dengan majoriti sebanyak 1,931.
Tiga calon Bebas menang
Sementara itu, bagi Parlimen Lubok Antu, Jugah turut melakar kejayaan apabila berjaya menewaskan dua calon daripada gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti sebanyak 1,059.
Walaupun dua kes ini berlaku dalam PRU dan bukan PRN, situasi serupa tidak mustahil boleh berlaku dalam PRN Sarawak 18 Disember nanti.
Ini kerana dalam PRN di negeri jiran mereka, Sabah tahun lalu, tiga daripada 56 calon bebas yang bertanding berjaya menang walaupun dengan majoriti tipis.
Tiga calon Bebas tersebut masing-masing menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, DUN Pitas dan DUN Kemabong.
Calon Bebas Datuk Masiung Banah mengekalkan kemenangan di DUN Kuamut dengan 2,802 undi (majoriti 978), menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Juhari Janan (1,547 undi); Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Benson Inggam (1,824 undi); Parti Cinta Sabah (PCS), Mohd Mezsi Ng Abdullah (721 undi) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Dr Ationg Tituh (270 undi).
Di DUN Pitas pula, calon bebas Ruddy Awah menang 2,918 undi dengan majoriti 599 undi mengalahkan calon BN Sufian Abd Karim (2,359 undi); Parti Warisan Sabah (Warisan) Shariff Azman (1,565 undi); PCS Sh Sahar Sh Ading (314) dan Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Ilasam Nurkasim (114).
Berdepan saingan enam penjuru di DUN Kemabong, calon bebas Rubin Balang menang 4,214 undi dengan majoriti 1,012 undi, menewaskan calon UPKO Lucas Umbul (3,202 undi); BN, Raime Unggi (2,966 undi); Parti Liberal Demokratik (LDP) Juster Peter (268); PCS, Tay Jin Kiong @ Alfred (229 undi) dan USNO, Rainus Sagulau (73 undi).
Kemenangan calon-calon Bebas di Sabah tidak mustahil boleh berulang di Sarawak terutamanya jika pengundi membuat keputusan memilih calon berbeza daripada calon parti-parti dominan yang dianggap suka ‘melompat’ dan sebagainya.
Justeru, mereka mungkin berpeluang menjadi membuat kejutan dengan ‘mencuri’ kemenangan dari calon-calon yang lebih mapan.