tun m bimbang calon harapan dibeli

LANGKAWI - Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad bimbang jika calon Pakatan Harapan (Harapan) dibeli pihak lawan.

Beliau berkata, jalan terbaik mengelakkan daripada situasi itu berlaku ialah pengundi perlu memberikan kemenangan besar kepada Harapan supaya proses pilihan raya ini tidak diseleweng.

“Kita mesti bagi Harapan kemenangan yang cukup tinggi, supaya pihak lawan tidak boleh menipu, kalau menang sedikit nanti ditipu, jika menang besar mereka tidak boleh tipu.

“Bukan hanya itu, calon kita juga akan diumpan dengan sogokan, bagi duit, calon kita pun cuba dibeli. Ini calon belum bertanding lagi, saya takut bila calon kita menang, mereka tawar RM10 juta,”katanya ketika sesi ceramah Harapan di Bukit Malut, malam ini.

Mahathir memberi situasi kepada dua calon Harapan Dun Langkawi iaitu Johari Bulat dan Muhammad Firdaus Ahmad.

Kataya, kalau mereka ditawar RM10 juta nak terima tak? Kedua-duanya menggeleng. Kalau RM20 juta macam mana? Mereka berdua tetap menggeleng, disambut gelak tawa dan sorakan 3,000 hadirin yang hadir.

“Duit tak boleh beli maruah orang, orang nak jaga maruah mereka dan mereka takkan jual diri  semata-mata kerana duit.

“Kerana kalau mereka buat demikian, masyarakat akan pandang hina kepada mereka kerana menjual diri mereka, sebab itu kita perlu kalahkan BN,” tegasnya.

Mahathir Mohamad