Figura yang sukar digugat

MARAN - Pengalaman selama tiga penggal bergelar Ahli Parlimen Maran sejak dipilih pada PRU10 memberi kelebihan kepada penyandangnya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib untuk mengekalkan kerusi berkenaan pada PRU14 ini.

Bakal berhadapan dua lawan dari PKR dan Pas, figura politik berusia 64 tahun yang memiliki PHD Pengurusan Sumber Manusia daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) ini seperti sukar digugat.

“Saya tidak kisah siapa pun lawan yang mahu ‘mencuba nasib’ kerana saya juga yakin pengundi di Parlimen Maran bijak menilai wakil rakyat dari parti mana yang komited berkhidmat dan membela nasib rakyat.

“Saya yakin BN masih lagi mampu memenangi PRU kali ini kerana gerak kerja membela rakyat telah dilakukan sejak dahulu lagi, bukan timbul nak dekat-dekat PRU,”  katanya ketika ditemui pada lawatan rumah ke rumah penduduk di Kampung Baru Jara di sini.

Pada program itu, Ismail yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia turut bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan kepada 10  rumah penduduk yang sakit, warga emas dan kurang upaya (OKU).

RM25 juta selesai masalah banjir

Sementara itu, menyentuh berkenaan kemudahan disediakan di Maran, Ismail berkata, peruntukan sebanyak RM25 juta diperoleh bagi kerja pemulihan berkaitan bencana banjir.

Sebagai contoh, katanya, masalah banjir kilat berlaku di kawasan Kampung Awah termasuk kawasan Awah Permai cuba diselesaikan melalui satu perancangan memulihkan punca pengairan dan saliran bagi mengelak kejadian berulang.

“Kos sebanyak RM1.2 juta telah diperuntukkan bagi menyelesaikan masalah tersebut. Baru-baru ini juga saya telah merasmikan sebuah bangunan baru iaitu pusat pemindahan banjir yang akan menjadi tempat perlindungan mangsa-mangsa banjir di Parlimen Maran.

“Penduduk di kawasan itu juga bertuah apabila permintaan sebuah surau baru bernilai RM300,000 diluluskan.

“Tindakan dan kelulusan segera membuktikan kerajaan peka dengan keperluan serta keselesaan rakyat terutama mereka yang ditimpa musibah,” katanya.

Mengulas berkenaan program ziarah yang diadakan saban minggu termasuk dalam tempoh berkempen, beliau berkata, ia salah satu tanggungjawab wakil rakyat terhadap setiap lapisan masyarakat.

“Melalui ziarah dilakukan, masalah kampung terutamanya berkaitan projek kecil dan  masyarakat setempat dapat dikenal pasti dan diatasi segera.

“Program ziarah sangat memberikan manfaat bukan sahaja kepada wakil rakyat dan kerajaan, malah kepada masyarakat setempat kerana mereka dapat bersemuka dan mengemukakan segala masalah.

“Rakyat boleh nampak dengan jelas bahawa kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah rakyat terutama di kawasan luar bandar, malah tumpuan utama pembangunan adalah di kawasan luar bandar,” katanya.

Rumah Generasi Kedua Felda

Dalam pada itu, Ismail turut menyentuh berkenaan isu rumah generasi kedua Felda yang turut dibangkitkan dan menjadi polemik serta modal kepada pembangkang untuk menghentam kerajaan.

“Isu ini tidak seharusnya dipanjangkan sedangkan pihak Felda dan kerajaan sendiri berusaha menyediakan rumah bagi generasi muda.

Jika kita perhatikan, ramai generasi pertama (Felda) sudah tiada (meninggal dunia) dan yang tinggal kini adalah generasi baru yang sentiasa dimomokkan dengan rasa benci terhadap kerajaan sedangkan pelbagai usaha dilakukan untuk mereka.

“Di Parlimen Maran sendiri ada enam buah Felda dan ia (rumah generasi kedua) telah dibina di Felda Jengka 19 dan ada (perancangan) tempat-tempat lain.. semuanya dalam perlaksanaan.

“Ada isu yang timbul berkaitan rumah tidak siap sedangkan masalah tersebut ditimbulkan pihak kontraktor. Kerajaan mengambil tanggungjawab untuk meneruskan pembinaannya cuma ia memakan masa untuk diselesaikan.

Kita mendapat bantuan daripada pihak SPNB dan kita akan selesaikan masalah ini,” katanya.

Katanya, Felda mempunyai pelbagai lagi perancangan untuk pembangunan generasi kedua, ketiga dan seterusnya, namun perlukan sokongan daripada rakyat.

Ismail Abd MuttalibMaran
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :

Berita Popular

Video Popular