Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan kelainan dalam persaingan antara parti politik bertanding apabila diadakan dalam keadaan normal baharu ketika negara masih lagi dalam usaha untuk keluar dari belenggu Covid-19.
Proses berkempen yang bermula sejak 8 November lalu memperlihatkan calon dari parti-parti bertanding menunjukkan kreativiti dalam usaha menjalankan kempen dalam normal baharu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Dalam waktu yang sama, calon-calon juga giat berjuang dalam 'perang digital' menggunakan platform berkenaan dalam menjalankan kempen mereka.
Tempoh berbaki kurang empat hari untuk berkempen sebelum memasuki hari pengundian pada 20 November ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh calon dan parti apabila kesemuanya semakin rancak mempromosikan diri di platform media sosial masing-masing.
BN dominasi kempen digital
SOP PRN Melaka yang menggariskan beberapa larangan, antaranya penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, ziarah rumah ke rumah dan 'walkabout' serta saranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memaksimumkan penggunaan platform dalam talian secara amnya dimanfaatkan dengan baik oleh setiap calon dan parti.
Meninjau ke laman sosial, penggunaan tanda pagar #PRNMelaka yang digunakan calon, parti dan penyokong dalam menjalankan kempen menyaksikan kem Barisan Nasional (BN) mendominasi 'perang digital' berkenaan.
Rata-rata calon dan penyokong berusaha dengan sehabis mungkin bagi mempromosikan aktiviti harian calon dari parti masing-masing sepanjang tempoh berkempen.
Antara yang mencuri tumpuan dalam kem BN adalah calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira.
Kariernya sebagai anak seni sebelum menceburi arena politik bagi meneruskan legasi Allahyarham bapanya, Datuk Seri Abu Zahar mendapat tumpuan bukan sahaja dari rakyat negeri Melaka, malahan rakan artis yang lain turut memberikan sokongan serta membantu dalam proses berkempen.
Persoalannya ketika ini, adakah manupilasi dan dominasi 'perang digital' dari kem BN itu mampu diterjemahkan semasa hari pengundian pada 20 November ini?
Sejarah menunjukkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Pakatan Harapan (PH) yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada ketika itu berjaya mendominasi kempen di media sosial serta memenangi PRU-14 dan membentuk sebuah kerajaan baharu.
Walau bagaimanapun, apa yang lebih utama dalam menyusuri peristiwa penting pilihan raya ini, masyarakat, calon, serta penyokong parti tidak boleh merosakkan integriti media dengan menyebarkan berita palsu, fitnah dan tohmahan sewaktu berkempen kerana ini akan mewujudkan masalah defisit amanah yang serius.