Isu RM20,000: Asmadi percaya AJK BN

PADANG SERAI - Ketua Umno Bahagian Padang Serai, Datuk Asmadi Abu Talib menyatakan  tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap seorang jawatankuasa Umno berhubung isu dakwaan memberi habuan wang berjumlah RM20,000 kepada seorang pemimpin Bersatu baru-baru ini.

Beliau berkata, selaku ketua yang melantik barisan pentadbir di dalam parti, kepercayaan akan terus diberikan kepada mereka dan berharap isu tersebut dapat diselesaikan segera.

"Masalah ini saya tidak tahu menahu langsung, jadi biarlah mereka selesaikan sendiri dengan pihak berwajib. Saya yakin dan percaya kepada siapa yang saya lantik itu.

"Saya juga masih lagi memberi kepercayaan kepada sesiapa yang dilantik, dan pada hari ini untuk pengetahuan saya tidak pernah mengugurkan mana-mana AJK  telah saya lantik, tetapi kita tengok lah selepas ini kalau ada kesan-kesan kepada parti,"katanya.

Calon BN di Merbau Pulas itu juga menegaskan perkara tersebut tidak akan menjejaskan imejnya sebagai calon dan ahli politik sehingga menyebabkan pengundi hilang kepercayaan  menjelang PRU14 ini.

"Insya-ALLAH saya yakin dan percaya kalau niat kita betul Tuhan akan tunjuk lah. Bagi saya dalam konteks pada hari ini saya yakin pengundi akan memahami, dalam pilihanraya akan timbul pelbagai cerita.

"Saya percaya kepada diri saya, saya dalam kedudukan yang benar, dan Tuhan akan menyebelahi pihak yang benar, saya rasa pengundi pun akan memahami lah perkara yang benar," katanya.

Pada Selasa, Ketua Bahagian Bersatu Padang Serai, Khairul Anuar Ramli  membuat satu laporan polis terhadap seorang individu yang juga mempunyai jawatan dalam Umno Bahagian Padang Serai.

Laporan itu dibuat berdasarkan dakwaan individu terbabit telah menyebarkan berita tidak benar melalui WhatsApp bahawa Khairul Anuar telah menerima wang RM20,000 daripada Asmadi bertujuan meminta tidak membongkarkan rahsia calon itu.

Padang Serai Umno
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :