SHAH ALAM - Penyertaan DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak merupakan amalan demokrasi dan tidak menggugat kesatuan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata, DAP Sarawak mempunyai autonomi penuh dalam parti untuk menentukan hala tuju di negeri tersebut, merangkumi aspek strategi, pendekatan kempen dan pemilihan calon.
Menurutnya, bahkan keputusan itu bukanlah tindakan mengejut atau tidak dijangka, sebaliknya telah dimaklumkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.
"Ingin saya tegaskan bahawa kedudukan Anwar sebagai Pengerusi PH dan Perdana Menteri adalah jelas dan tidak pernah dipertikaikan.
"Dalam kerangka PH, kesemua parti komponen adalah rakan kongsi sama rata (equal partners) walaupun Anwar menerajui gabungan ini.
"Prinsip demokrasi dalam PH membenarkan setiap parti bersuara secara terbuka dan menentukan pendekatan dan strategi setiap parti. Namun, keterbukaan ini sama sekali tidak menjejaskan kebersamaan serta solidariti PH yang telah teruji malah terbukti utuh sejak penubuhannya," ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah mempersoalkan siapa sebenarnya yang memimpin PH, sama ada Pengerusinya Anwar atau DAP sebagai parti komponen terbesar gabungan itu.
Beliau berkata, persoalan itu timbul susulan keputusan DAP meletakkan calon di 14 kerusi untuk menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam PRN Sarawak, walaupun kedua-dua parti merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurut Hairi, tindakan DAP itu menunjukkan kegagalan Anwar menyelaraskan pendirian parti-parti dalam gabungan berkenaan.
Tambah Syahredzan, DAP bertanding menggunakan logo parti sendiri, bukan sebagai PH.
Jelasnya, DAP Sarawak berhak meletakkan calon dan ini tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Beliau memberitahu, bagi menjaga hubungan dalam Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan, barisan Menteri dan Timbalan Menteri daripada DAP tidak turun berkempen di Sarawak seperti yang telah diumumkan oleh Pengerusi DAP Sarawak sebelum ini.
"Inilah kebijaksanaan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam mencari titik keseimbangan di antara seruan demokrasi dan keperluan memastikan kestabilan politik.
"Inilah juga lumrah amalan demokrasi yang matang. Justeru, UMNO sepatutnya meraikan ruang demokrasi ini, bukannya mempertikaikan penyertaan DAP dalam PRN Sarawak.
"UMNO yang sebenarnya melemahkan perpaduan dalam Kerajaan Madani dengan tindak-tanduk mereka selama ini yang antara lain ‘berasmara’ dengan PAS dan Perikatan Nasional, bukan DAP," katanya.