BN serah Istana maklum hasil pertemuan - Ahmad Zahid

SEREMBAN - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Istana Negeri Sembilan untuk mengumumkan hasil pertemuan dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Khamis.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, pertemuan berkenaan berlangsung dalam suasana tenang dan keputusan yang dicapai akan dimaklumkan oleh pihak Istana.

"Kami telah menghadap Tuanku Muhriz dalam suasana yang tenang dan Tuanku akan membuat keputusan.

"Kita akan serahkan kepada pihak Istana untuk mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan yang telah kami capai," katanya ditemui pemberita di luar Istana Hinggap di sini selepas selesai menghadap Tuanku Muhriz pada Khamis.

Beliau sebelum itu memasuki istana jam 3 petang dan keluar kira-kira jam 4.15 petang.

Turut hadir dalam sesi menghadap sembah baginda itu ialah Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung BN yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengulas sama ada pertemuan itu membincangkan soal pelantikan Menteri Besar baharu dan barisan Exco, Ahmad Zahid berkata, perkara berkenaan diserahkan kepada pihak Istana untuk membuat kenyataan.

"Itu biarlah istana yang keluar kenyataan. Biarlah kenyataan daripada Istana itu memuktamadkan keputusan yang telah kami sama-sama persetujui," katanya.

**media[3723465]**

Ahmad Zahid turut menyatakan harapan supaya kemelut yang berlaku dapat diselesaikan tidak lama lagi, dengan menyerahkan segala keputusan kepada pihak istana.

"Insya-ALLAH dalam masa terdekat. Biarlah kita serahkan kepada Istana. Istana yang buat keputusan," katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh menghadap Tuanku Muhriz sekitar jam 1.18 petang.

Difahamkan, ini merupakan kali ketiga Tuanku Muhriz berkenan menerima menghadap Ismail sejak beliau diumumkan oleh Barisan Nasional(BN) peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar.