CADANGAN menghidupkan semula Barisan Alternatif (BA) tanpa DAP bagi memperkukuh sokongan Melayu terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin dilihat sebagai talian hayat terakhir untuk menyelamatkan peluang Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Namun, persoalannya sejauh mana formula politik yang pernah menyatukan pembangkang pada 1999 itu masih relevan dalam landskap politik hari ini, ketika sebahagian besar pengundi Melayu dilihat semakin cenderung kepada penyatuan politik UMNO dan Pas?
Cadangan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin itu, meskipun menarik dari sudut percaturan kuasa, berdepan halangan besar kerana ia menuntut pengorbanan politik yang sukar dilakukan Anwar khususnya mengetepikan DAP yang menjadi antara tunjang utama Kerajaan Perpaduan.
Dalam satu rancangan podcast tempatan, Khairy berpandangan kerjasama dengan Pas mungkin menjadi pilihan strategik untuk mengembalikan sokongan Melayu terhadap PH.
Hal ini dilihat lebih mendesak selepas prestasi gabungan itu yang hanya memenangi empat kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berbanding keseluruhan 24 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) selain hanya meraih anggaran lima peratus sokongan pengundi Melayu.
Bagaimanapun, cadangan menghidupkan semula BA bukan semestinya jawapan kepada kemelut sokongan yang sedang dihadapi Anwar.
Ini kerana persoalan sebenar bukan lagi sekadar bagaimana PH mahu mendapatkan semula undi Melayu, sebaliknya sejauh mana rakyat masih menerima kepimpinan Perdana Menteri itu sendiri.
**media[3720271]**
Penganalisis politik veteran, Azizi Safar berpandangan, cadangan Khairy itu lebih bersifat provokasi politik dan perang psikologi terhadap Anwar serta PH berbanding formula realistik untuk dilaksanakan.
Menurutnya, sukar membayangkan Anwar sanggup mengetepikan DAP demi mendapatkan sokongan Pas kerana tindakan itu berpotensi mengubah keseluruhan imbangan kuasa dalam kerajaan.
Lebih penting katanya, Pas sendiri tidak mempunyai keperluan mendesak menyertai kerajaan Anwar ketika parti itu semakin yakin dengan kekuatan kerjasama politik bersama UMNO dan BN.
“Masalah sebenar sekarang ialah Anwar, bukannya DAP atau mana-mana parti lain semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian.
Azizi turut melihat perkembangan Gelombang Biru sebagai fenomena berbeza daripada Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai UMNO dan Pas pada 2019.
Katanya, MN pada asalnya merupakan inisiatif permuafakatan yang digerakkan kepemimpinan kedua-dua parti sebelum mendapat sokongan akar umbi, sedangkan ‘gelombang biru’ berkembang daripada desakan masyarakat Melayu dan Islam yang mahukan perubahan landskap kuasa politik serta menolak kepimpinan Anwar secara menyeluruh.
“Saya turut menyifatkan perkembangan itu sebagai gelombang rakyat yang semakin membesar sehingga berpotensi menjadi ‘tsunami Melayu’.
“Masalah besar dihadapi Anwar bukanlah keperluan mewujudkan satu blok politik baharu, sebaliknya beliau perlu menyedari kadar popularitinya sebagai Perdana Menteri dalam kalangan pengundi Melayu Islam kini berada pada titik terendah,” ujarnya.
Azizi berpandangan, cadangan menghidupkan semula BA memperlihatkan dilema besar Anwar yang tersepit antara keperluan mendapatkan sokongan Melayu dengan kebergantungan terhadap DAP sebagai komponen utama kerajaan.
“Jika penolakan yang berlaku benar-benar berpunca daripada persepsi terhadap kepimpinan Anwar, perubahan formula kerjasama tanpa pembaharuan substantif mungkin tidak mencukupi untuk mengembalikan keyakinan pengundi.
“Pada masa sama, ‘gelombang biru’ juga perlu dibuktikan melalui kesepakatan dasar, kemampuan menawarkan pentadbiran berkesan serta kesediaan parti-parti terlibat mengutamakan kepentingan rakyat mengatasi perebutan kuasa.
“Ini kerana penyatuan Melayu-Islam tidak semestinya menjamin kemenangan sekiranya hanya berlegar pada sentimen kaum dan agama tanpa penyelesaian terhadap isu ekonomi, kos sara hidup, pendapatan serta tadbir urus,” jelasnya.
Penyatuan
Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor, Dr Muhamad Khir Toyo berkata, kecenderungan rakyat terhadap penyatuan Melayu dan Islam sebagai faktor lebih dominan berbanding percaturan gabungan parti semata-mata.
**media[3720272]**
Menurutnya, rakyat sudah memberikan isyarat bahawa mereka tidak lagi mahu bersama PH, sekali gus menjadikan kerjasama BN-PN sebagai pilihan politik yang semakin mempunyai daya tarikan.
“Perkara paling utama ialah rakyat dah buat keputusan mereka tidak mahu lagi bersama PH
“UMNO juga berdepan risiko politik sekiranya memilih untuk meninggalkan usaha penyatuan kerana masyarakat mungkin melihat tindakan itu sebagai penolakan terhadap aspirasi orang Melayu dan Islam,” katanya.
Beliau turut menjangkakan peluang Pas meninggalkan kerjasama dengan UMNO-BN untuk menyertai kerajaan Anwar adalah kecil memandangkan parti itu kini mempunyai kedudukan politik yang semakin kukuh.
Malah, beliau berpandangan kerjasama UMNO-Pas berpotensi menghimpunkan sokongan Melayu-Islam lebih besar berbanding kerjasama yang hanya melibatkan Pas dengan PH.
Dalam perkembangan sama, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Zaid Ibrahim bagaimanapun mengingatkan supaya percaturan politik Anwar dan PH tidak wajar menjadikan DAP sebagai korban semata-mata mendapatkan sokongan Melayu.
Menurutnya, DAP merupakan parti yang mendapat sokongan masyarakat Cina, justeru beliau tidak bersetuju mana-mana parti diketepikan daripada kerjasama politik melainkan parti itu memusuhi gagasan perpaduan nasional.
“DAP mewakili masyarakat Cina dan adalah tidak bijak mengetepikan mereka daripada kerajaan hanya kerana mereka mewakili kaum Cina,” katanya.
Zaid turut mempersoalkan tanggapan bahawa perbezaan ideologi antara Pas dan DAP terlalu besar sehingga kedua-duanya mustahil bekerjasama.
Sebaliknya beliau percaya, kedua-dua parti mempunyai persamaan kepentingan yang boleh dijadikan asas untuk membina persefahaman sekiranya wujud kesungguhan politik.
“Hanya penglibatan serius dalam isu-isu besar negara mampu merapatkan jurang antara kedua-dua parti, bukannya terus mengekalkan stereotaip demi kepentingan politik masing-masing,” katanya.