ISKANDAR PUTERI – Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon menerima secara terbuka teguran Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung perselisihan faham antara Pemuda UMNO dan Pemuda MCA.
Beliau yang Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri menyifatkan teguran itu sebagai nasihat seorang pemimpin senior kepada golongan muda yang perlu dijadikan panduan dalam menguruskan perbezaan pandangan dalam soal politik.
Jelas beliau, anak muda sememangnya mempunyai semangat tinggi ketika membincangkan sesuatu perkara, namun perbezaan pendapat perlu disampaikan secara matang dan berlandaskan fakta.
“Saya menerima secara terbuka. Inilah anak muda biasanya kita berbincang sesuatu perkara lebih semangat, itu memang biasa.
“Tapi kita berdebat atau berhujah dengan fakta, dengan pemikiran yang lebih matang.
“Setelah apa-apa keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan parti, kami akan ikut keputusan daripada pucuk pimpinan parti,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin.
Pada Ahad, melaporkan Ahmad Zahid, meminta Pemuda UMNO dan Pemuda MCA menghentikan perselisihan faham berhubung cadangan pengembalian pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Wilayah Persekutuan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kedua-dua sayap parti itu perlu mengetepikan perbezaan pandangan dan mengelak persengketaan kerana UMNO dan MCA adalah sebahagian daripada keluarga besar BN yang perlu bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Mengulas kenyataan Ahmad Zahid mengenai masa semakin suntuk menjelang Pilihan Raya Umum (PRU), beliau berkata, MCA dan UMNO sudah beberapa kali bekerjasama menerusi beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Walaupun masa sudah suntuk, kami dah banyak kali diuji dalam PRN negeri-negeri.
“Oleh itu, kalau Presiden dah buat last call, kami akan mantapkan pasukan untuk berhadapan dengan apa-apa cabaran yang kemungkinan,” katanya.
Sebelum ini,Tian Soon, ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda MCA, menggesa kerajaan menghidupkan semula pilihan raya PBT bermula di Wilayah Persekutuan.
Perkara itu mendapat reaksi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, mencadangkan MCA bertanding di kawasan bandar sahaja manakala kawasan majoriti Melayu diserahkan kepada parti komponen BN yang lain.
Pilihan raya PBT pernah diadakan sebelum digantung pada 1965, susulan pengisytiharan darurat berikutan Konfrontasi Indonesia-Malaysia, sebelum dimansuhkan pada 1966.
UMNO sebelum ini berulang kali membantah cadangan menghidupkan semula pilihan raya PBT atas alasan ia akan meningkatkan beban kewangan pembayar cukai, selain dikhuatiri memperluas polarisasi kaum.