KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] MCA berhasrat menambah kemenangan buat Barisan Nasional (BN) tidak kira di kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam siri pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya selaku rakan setia BN akan tetap bersama dan sepakat dalam apa sahaja perancangan digerakkan Pengerusi gabungannya iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menjelang PRU16, Ka Siong menegaskan bahawa MCA akan terus bekerja kuat di bawah payung BN sama ada secara solo, bersama rakan strategik atau melalui konsep muafakat seperti di Melaka.
"Sebagai sebuah parti komponen BN, MCA bersyukur kerana di ketiga-tiga negeri, kerajaan yang dibentuk mempunyai ciri kepelbagaian.
"Di Johor, dua wakil MCA terus berkhidmat dalam barisan EXCO. Di Negeri Sembilan, MCA kembali ke dalam pentadbiran negeri selepas 13 tahun manakala di Melaka, MCA mempunyai seorang EXCO di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Melaka.
"Pengalaman di tiga negeri memperlihatkan keberkesanan tiga pendekatan berbeza. Tidak ada satu formula untuk semua medan pertempuran seperti mana disebut Pengerusi BN sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung MCA ke-4 di Dewan San Choon Wisma MCA di sini pada Ahad.
Selain Ahmad Zahid, majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Presiden MCA; Datuk Dr Mah Hang Soon; Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Setiausaha Agung 'People Progressive Party' (PPP), Datuk K Santhra Segaran; mantan-mantan Presiden MCA serta perwakilan dari seluruh negara.
Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam menambah, MCA akan memberi sokongan penuh terhadap Agenda Malaysia Biru yang digagaskan oleh Pengerusi BN dalam usaha merancang masa depan lebih baik untuk negara.
Beliau berkata, segala resolusi yang bakal dibahaskan dalam Perhimpunan Agung MCA ke-4 dikemukakan sebagai cadangan bagi manifesto BN untuk PRU16.
Ka Siong turut mengulas kebangkitan BN-MCA akhir-akhir ini yang menjadi keresahan parti lawan.
"Mereka tidak menyangka, MCA yang dahulu hanya memiliki satu kerusi Parlimen iaitu saya di Ayer Hitam, kini bertambah menjadi dua apabila rakyat memberi mandat kepada Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng selaku Ahli Parlimen Tanjung Piai pada 2019 dengan majoriti 15,086 undi.
"Atas dasar itu, saya sekali lagi mahu merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zahid kerana bertegas mahu meletakkan calon MCA di kawasan ini," ujarnya.
Ka Siong berkata, jumlah ADUN daripada MCA kini bertambah kepada 16 orang, termasuk dua lagi ADUN lantikan di DUN Melaka.
Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan supaya kesemua ADUN yang menang untuk tidak terlalu selesa kerana masih banyak perkara perlu diperbaiki.
"Kemenangan ini tidak datang bergolek begitu sahaja, inilah bukti kerja keras seluruh jentera BN.
"Namun, jangan kerana kemenangan ini membuatkan kita lupa diri, angkuh, sombong serta menjauhkan kita daripada rakyat.
"Jangan... jangan sesekali menjadi seperti 'kacang lupakan kulit'. Ingatlah sentiasa bahawa berdirinya kita pada hari ini disebabkan sokongan ahli akar umbi dan rakyat," jelasnya.