Kenyataan Poay Tiong wajar disiasat di bawah peruntukan 3R – Shahidan Kassim

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong disiasat mengikut peruntukan berkaitan 3R (kaum, agama dan institusi) susulan kenyataannya berhubung isu solat Jumaat.

Beliau berkata, tindakan tersebut perlu diberi perhatian dan diserahkan kepada mahkamah untuk menentukan perkara berkenaan.

“Perbuatan sebegini wajar disiasat di bawah peruntukan 3R. Mahkamah yang berhak menentukan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Poay Tiong menerusi hantaran di laman sosialnya membangkitkan kebimbangan mengenai pelaksanaan arahan penutupan sementara operasi premis perniagaan selama dua jam dari 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat yang didakwa boleh menjejaskan kebebasan berniaga dan gaya hidup masyarakat bukan Islam.

Beliau menganggap arahan berkenaan mencerminkan pengaruh dasar keagamaan konservatif parti Islam terhadap pentadbiran awam.

Bagaimanapun, Poay Tiong berkata, pihaknya menghormati kewajipan umat Islam menunaikan solat Jumaat, namun berpendapat dasar lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengambil kira kepentingan semua pihak.

Mengulas lanjut, Shahidan mendakwa, tindakan mengeluarkan kenyataan sedemikian bukan kali pertama dilakukan oleh pengerusi DAP itu bersama beberapa individu lain.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu, setiap kali isu timbul, ia kemudiannya disusuli dengan permohonan maaf.

“Setiap kali timbul isu, mereka hentikan dengan permohonan maaf,” katanya.