DUNGUN - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan akan menjawab mengenai kemungkinan menyertai Kerajaan Perpaduan sekiranya DAP dikeluarkan daripada gabungan berkenaan.
Menurutnya, pendirian itu dibuat kerana perselisihan antara Pas dan Pakatan Harapan (PH) membabitkan soal dasar negara serta Perlembagaan yang menyentuh hak orang Islam.
"Saya dah sebut tadi, perselisihan kita dengan Pakatan Harapan ini perselisihan dasar. Perselisihan kerjasama yang melibatkan dasar, dasar negara yang melibatkan Perlembagaan.
"Bila DAP dan parti-parti buat kenyataan nak pinda Perlembagaan hak Islam, termasuklah pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya. Ini perkara yang menyentuh politik orang Islam dan dia tak ubah lagi sikap dia itu," katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Jentera Pilihanraya Pas Terengganu PRU16 dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di sini pada Jumaat.
Ditanya sama ada Pas boleh menerima PH sekiranya gabungan itu mengeluarkan DAP, Abdul Hadi secara ringkas menjawab perlu tunggu DAP keluar dulu daripada kerajaan.
"Nanti dia keluar dulu baru saya jawab," ujarnya ringkas.
Mengulas lanjut mengenai kemungkinan perkara itu berlaku, Ahli Parlimen Marang berkenaan enggan membuat sebarang spekulasi.
"Kemungkinan saya tak boleh kata," ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan segelintir pemimpin DAP termasuk Tony Pua yang didakwa mengeluarkan kenyataan berani seolah-olah mencabar kewibawaan Yang di-Pertuan Agong, Abdul Hadi menyifatkan tindakan tersebut sebagai melampaui batas.
"Itu mereka tanggung sendirilah. Mereka buat, mereka tanggung. Bukan hal kita. Apabila ada adab, mereka tak jaga adab, tergolong ramai-ramai itu melampaui batas," tegasnya.
Sementara itu, menyentuh mengenai persediaan dan kompromi dalam kerjasama Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), beliau berkata, Pas sentiasa menunjukkan sikap bertolak ansur seperti yang dibuktikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sebelum ini.
Jelasnya, walaupun ada pandangan disuarakan di peringkat negeri termasuk di negeri-negeri SG4 (Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis), sebarang keputusan utama termasuk berkaitan agihan kerusi akan ditentukan oleh kepimpinan pusat parti.
"Kita telah menunjukkan kompromi di Negeri Sembilan, termasuk di Melaka bila kita menerima status quo 21 kerusi dan kita ambil kerusi-kerusi yang mencabar semua itu yang kita tanding.
"Sebab yang penting ialah persaudaraan antara dua kumpulan ini," katanya.
Mengenai pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan bukan Islam daripada Gerakan di Terengganu, beliau menjelaskan langkah itu diambil dengan melihat kepada gambaran di peringkat nasional bagi membuktikan Pas tidak bersikap perkauman.
Beliau turut memaklumkan bahawa ruang pembabitan wakil bukan Islam termasuk daripada Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) di negeri pentadbiran Pas tidak terhad kepada DUN sahaja, sebaliknya turut merangkumi jawatan dalam majlis daerah, majlis perbandaran serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).