SHAH ALAM – Pas akan terus berpegang kepada hala tuju politiknya ketika ini dan menolak pelawaan untuk menyertai kerajaan.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, pendirian itu menerusi satu hantaran ringkas di media sosialnya hari ini.
"Pas akan terus istiqamah dengan jalannya sekarang. Terima kasih atas undangan dan jemputan," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Selasa.
Kenyataan Ahmad Fadhli itu dibuat sebagai maklum balas terhadap gesaan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad, yang meminta Pas menamatkan kerjasama dengan UMNO dan beralih arah menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, Khalid dalam satu sidang media dilaporkan menyambut baik cadangan bekas Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rosli Yaakop, supaya parti itu menyokong Anwar dan Pakatan Harapan (PH).
Untuk rekod, Khalid dan Rosli pernah menganggotai Jawatankuasa Pimpinan PAS Pusat sebelum masing-masing menyertai Amanah, namun Rosli dilaporkan kembali menyertai Pas pada Jun lalu.