Mas Ermieyati nekad pertahan Masjid Tanah pada PRU16

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin nekad mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pendirian itu dibuat meskipun Barisan Nasional (BN) menerusi kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), menyapu bersih kesemua lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Bekas Ketua Srikandi Bersatu itu berkata, pendirian tersebut telah dimaklumkan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan).

"Sudah tentu kerusi Masijd Tanah saya pertahankan.

"Saya juga bersedia untuk menyokong sesiapa yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti sekiranya ada keputusan untuk bukan saya bertanding, tetapi calon PN lain," katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen, pada Isnin.

Pada PRU15, Mas Ermieyati bertanding atas kerusi Bersatu dan memperoleh 25,604 undi, menang dengan majoriti 4,411 undi.

Namun pada Mac lalu, beliau digantung keahlian parti selama dua penggal atau enam tahun kerana melanggar perlembagaan dan kod tatakelakuan.

Menerusi notis penggantungan itu, Mas Ermieyati dikenakan tindakan kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) turut berharap rekodnya sebagai ahli parlimen diambil kira dalam pemilihan calon.

"Prestasi kerja saya boleh dinilai. Saya harap apa juga keputusan boleh memberikan pertimbangan kepada performance yang telah saya berikan," ujarnya.