MELAKA - Kekuatan jentera, pengaruh akar umbi serta keupayaan menyatukan undi Melayu menjadi faktor utama Barisan Nasional (BN) - Perikatan Nasional (PN) berjaya mengekalkan mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, kelebihan itu memberikan gabungan 'dua gergasi biru' itu kekuatan tambahan apabila kerjasama politik antara kedua-dua blok berjaya diterjemahkan kepada pemindahan undi.
"PRN Melaka bukan sekadar pertandingan parti tetapi ujian sama ada undi boleh dipindahkan melalui rundingan elit atau masih ditentukan sentimen dan keyakinan pengundi.
"Undi kedua-dua blok berjaya dipindahkan, Pakatan Harapan (PH) berdepan kesukaran," katanya kepada Sinar Ahad.
BN secara tidak rasmi telah memperoleh majoriti dua pertiga dengan memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mentadbir kerajaan negeri.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Pusat Operasi BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.
**media[3710524]**
Keputusan tidak rasmi menyaksikan BN menang di kerusi Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal dan Asahan.
BN juga menang di Sungai Udang, Pantai Kundor, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Mohamad Hafis Amat Simin berpandangan, kerjasama gabungan pimpinan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berjaya menyatukan sokongan pengundi Melayu serta mengurangkan persaingan sesama parti di kawasan demografi majoriti kaum itu.
Beliau berkata, hubungan calon dengan penduduk setempat, rekod perkhidmatan serta keupayaan menangani isu tempatan seperti pembangunan, peluang pekerjaan dan kos sara hidup juga boleh menentukan sokongan pengundi.
"Dalam politik pilihan raya, penyatuan kepimpinan tidak semestinya menghasilkan penyatuan sokongan secara automatik.
"Kesetiaan kepartian, hubungan calon dengan pengundi dan pengalaman persaingan lalu boleh mempengaruhi pola pemindahan undi.
"Keupayaan menyelaraskan gerak kerja di lapangan, menggerakkan pengundi serta memanfaatkan hubungan calon dengan masyarakat setempat menjadikan kerjasama berkenaan memperoleh kemenangan," jelasnya.
Beliau juga menegaskan bahawa kemenangan pilihan raya bukan sekadar kejayaan meraih mandat politik, sebaliknya perlu dibuktikan melalui keupayaan menterjemahkan mandat itu kepada kestabilan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
"Dalam demokrasi yang semakin kompetitif, rakyat bukan sekadar memilih siapa yang memerintah tetapi turut menentukan bagaimana mereka mahu diperintah," ujarnya.