PRN Melaka: Selepas 14 tahun, empat beranak asal Kelantan pertama kali undi di Melaka

HANG TUAH JAYA – Selepas 14 tahun menetap di Melaka, sebuah keluarga dari Kota Bharu, Kelantan mengambil keputusan menukar alamat bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Melaka buat kali pertama.

Keputusan itu dibuat empat beranak berkenaan selepas mengambil kira faktor jarak perjalanan, terutama apabila bapa mereka, Azman Zakaria, 60, yang sudah bersara.

Anak sulungnya, Nurul Fatin Azman, 34, berkata sebelum ini mereka sekeluarga sentiasa bersemangat pulang ke kampung halaman di Kora Bharu, Kelantan untuk mengundi.

"Selepas menetap lama di Melaka dan mengambil kira keadaan bapa yang sudah bersara, kami sepakat menukar alamat mengundi supaya lebih mudah membuang undi.

"Kami tidak lagi perlu menempuh perjalanan jauh untuk pulang setiap kali pilihan raya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di Sekolah Kebangsaan Dato Demang Hussin, Bukit Katil pada Sabtu.

Selain Nurul Fatin, adiknya, Izzat Azman, 30 dan Nurul Amalin Azman, 26 turut membuang undi di pusat mengundi yang sama.

Nurul Fatin berkata, mereka memilih untuk keluar mengundi seawal jam 8 pagi untuk menikmati peluang menikmati pelbagai promosi yang ditawarkan sekitar Melaka.

"Memandangkan kami semua ambil cuti jadi kami ambil peluang untuk bawa ayah dan adik-adik berjalan-jalan.

"Menariknya, banyak premis makanan dan lokasi pelancongan yang menawarkan diskaun dengan hanya menunjuk jari yang dicelup, jadi memang berbaloi," katanya.