SHAH ALAM – Ilham Centre meramalkan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berpotensi menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026.
Ilham Centre merumuskan gelombang biru BN-PN semakin mendominasi persaingan PRN Melaka dengan kelebihan ketara berbanding PH.
"Unjuran Ilham Centre meletakkan BN–PN di hadapan dalam 24 kerusi DUN, manakala PH berada pada kedudukan selesa di dua kerusi tradisinya iaitu Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
"Dua lagi kerusi yang sebelum ini disandang oleh PH iaitu Ayer Keroh dan Kesidang dikategorikan sebagai sengit," katanya menerusi kajian lapangan Ilham Centre pada Jumaat.
Firma penyelidikan itu memberitahu, tiga faktor utama yang mengukuhkan kedudukan gabungan itu ialah konsolidasi undi Melayu, moral jentera yang tinggi serta penerimaan terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
"Dapatan lapangan menunjukkan perpindahan undi antara penyokong BN dan PN berlaku dengan sangat baik, sekali gus memperkukuh konsolidasi undi Melayu.
"Dapatan kami menunjukkan perpindahan undi pengundi PN kepada BN sebanyak 91 peratus manakala pengundi BN kepada PN sebanyak 78 peratus," kongsinya.
Ilham Centre berpandangan, keadaan itu menjadikan 23 kerusi DUN dengan komposisi pengundi Melayu sekurang-kurangnya 50 peratus sebagai jajaran yang semakin sukar ditembusi oleh PH.
Menurut firma penyelidikan, kekuatan gabungan itu turut disokong penguasaan jentera UMNO dan Pas yang mempunyai jaringan akar umbi tersusun sehingga ke peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Tambahnya, penggemblengan dua jentera tradisi berpengalaman itu memberikan kelebihan besar kepada BN-PN berbanding parti yang tidak memiliki struktur organisasi dan jaringan pengundi setempat setanding.
"Secara keseluruhannya, kerjasama BN–PN bukan sekadar persefahaman politik antara kepimpinan parti, sebaliknya telah diterjemahkan kepada penyatuan kekuatan organisasi dan keyakinan pengundi di lapangan," menurut Ilham Centre.
Firma penyelidikan itu melihat perkembangan berlaku menjadikan gelombang biru semakin kukuh dan meletakkan PH dalam kedudukan defensif di kerusi-kerusi majoriti Melayu.