PRN Melaka: Azman mahu perkasa bakat sukan, kecemerlangan akademik

TANGGA BATU - Selain pembangunan dan infrastruktur, aspek sukan serta pendidikan turut menjadi antara keutamaan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin.

Beliau berkata, terdapat kemudahan sukan khususnya padang bola sepak di kawasan itu yang boleh ditambah baik menerusi penyelenggaraan lebih sistematik supaya dapat dimanfaatkan golongan muda.

Menurutnya, pembangunan sukan perlu bergerak seiring dengan pendidikan kerana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan yang berkualiti.

“Di Paya Rumput ini, saya melihat ada beberapa perkara berkaitan infrastruktur sukan yang perlu diberi perhatian, termasuk padang bola sepak yang tidak diselenggara dengan baik.

“Jika kemudahan ini dijaga dengan sempurna, anak-anak kita dapat menggunakannya untuk mengembangkan bakat dan minat dalam sukan,” katanya.

**media[3703132]**

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Klinik Bola Sepak Bebas Palestin anjuran Sahabat Madani di Cheng, di sini, pada Sabtu.

Program yang disertai kira-kira 200 peserta itu turut menampilkan tiga legenda bola sepak negara iaitu Amri Yahyah, Safee Sali dan Shahrul Idlan Talaha.

Beliau pada masa sama, turut menekankan kepentingan pendidikan yang bakal menentukan masa depan negara.

“Ilmu itu penting kerana akan dibawa sampai bila-bila.

“Justeru saya mahu melihat apakah keperluan pendidikan yang boleh dibantu, termasuk aspek akademik dan usaha meningkatkan pencapaian sekolah rendah serta menengah di Paya Rumput,” katanya.

**media[3703133]**

Sementara itu, mengulas perkembangan kempen yang memasuki hari kelapan, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri itu berkata, beliau melihat perkembangan positif dari segi penerimaan pengundi terhadap PH di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, penerimaan tersebut perlu diterjemahkan menerusi sokongan sebenar pada hari pengundian.

“Alhamdulillah, saya melihat ada perubahan dari segi sokongan dan penerimaan masyarakat di lapangan terhadap PH di Paya Rumput.

“Ketika berkempen, saya melihat rakyat menerima kerajaan Madani dan melihat prestasi yang telah ditunjukkan di negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sebelum ini.

“Ini antara perkara yang kita tawarkan kepada rakyat Paya Rumput bahawa kita serius dan datang dengan hasrat untuk melakukan yang terbaik buat rakyat Melaka, khususnya di kawasan ini,” katanya.