MELAKA – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang menyebarkan rakaman video tular memaparkan kekecohan membabitkan dirinya dan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya membuat permohonan maaf secara terbuka.
Beliau berkata, permohonan maaf itu perlu dibuat menerusi media sosial sebagai langkah membetulkan penyebaran rakaman berkenaan.
Menurutnya, sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi dalam tempoh ditetapkan, beliau akan mengadakan sidang media dan membuat laporan polis.
“Video itu adalah rakaman lama. Saya beri tempoh 24 jam kepada pihak yang menyebarkannya untuk memohon maaf secara terbuka menerusi media sosial.
“Jika mereka tidak berbuat demikian, saya akan mengadakan sidang media dan membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, rakaman video berdurasi kira-kira empat minit yang memaparkan kekecohan membabitkan seorang lelaki didakwa mirip calon DUN Pengkalan Batu tular di media sosial.
Video tersebut mengundang pelbagai reaksi apabila lelaki berkenaan dilihat menyiram air ke arah anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.
Kejadian itu dipercayai berlaku ketika pihak PBT mengambil tindakan terhadap binaan dan halangan berupa tanaman pokok di lorong belakang sebuah rumah di kawasan perumahan.
Mengulas lanjut, Norhizam berkata, beliau tidak dapat mengingati tarikh sebenar kejadian yang dirakam dalam video berkenaan.
Untuk rekod, DUN Pengkalan Batu menyaksikan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini membabitkan Norhizam yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Jason Tze Xi Nathan daripada Pakatan Harapan (PH), Siti Aisyah Mahmood mewakili Barisan Nasional (BN) dan Goh Han Koon daripada Parti Bersama Malaysia.