Pembangkang persoal menteri kesihatan, timbalan tidak hadir jawab soalan di Parlimen

KUALA LUMPUR - Pihak pembangkang mempertikaikan ketidakhadiran Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalannya, Datuk Hanifah Hajar Taib untuk menjawab soalan lisan yang dibawa oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju yang berkaitan dengan isu kesihatan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu merupakan satu penghinaan kepada Dewan dan memalukan kerajaan.

Menurutnya, oleh itu pihak pembangkang menuntut kerajaan supaya memberi penjelasan.

"Soalan nombor tiga tadi, menteri dan timbalan tak datang dan untuk soalan empat nyaris-nyaris kita tengok Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tidak dapat menjawab kerana lewat.

"Jadi ini satu kegagalan dan kita tak tahu ke mana arah tuju kerajaan yang ada pada hari inilah," ujarnya pada sidang akhbar di Parlimen.

Tambah Takiyuddin, bukan sahaja Perdana Menteri tetapi menteri lain juga kelihatan huru hara.

"Kita gelombang biru, dia haru biru," ujarnya.