KOTA MELAKA - Suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung dalam keadaan tenang tanpa sebarang insiden tidak diingini disifatkan sebagai perkembangan positif kerana memberi ruang kepada rakyat membuat keputusan secara rasional.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, demokrasi perlu diraikan kerana rakyat mempunyai peluang menentukan kepimpinan yang mahu dipilih menerusi proses pilihan raya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kempen pilihan raya sewajarnya berlangsung secara sihat tanpa disulami fitnah atau perkara yang tidak sepatutnya.
"Kita nampak di Melaka ini tenang-tenang sahaja dan ini sesuatu yang sangat menggembirakan.
"Kita percaya rakyat dapat membuat keputusan dengan tenang, dengan baik, menggunakan rasional, dengan logik dan tentunya keputusan oleh rakyat itu akan menggambarkan satu keputusan yang benar-benar bijaksana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Plat Projek Program Jiwa Murni MADANI Kementerian Pertahanan peringkat Melaka 2026, di Telok Mas pada Rabu.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Dalam nada berseloroh, Khaled turut menyatakan kegembiraannya melihat 'gelombang biru' di Amerika Syarikat, sebelum menegaskan bahawa perkara lebih penting ialah meraikan demokrasi dan kebebasan rakyat menentukan kepimpinan.
PRN Melaka kali ini menyaksikan pertandingan di 28 kerusi DUN, dengan hari pengundian ditetapkan pada 14 November ini.