Belanjawan Selangor 2027: Harga rumah, lesen vape antara tujuh isu dibangkitkan Pemuda Pas

SHAH ALAM – Pemuda Pas Selangor mengemukakan tujuh isu struktur yang perlu diberi perhatian kerajaan negeri dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2027.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, isu itu perlu ditangani menerusi pendekatan lebih menyeluruh bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan dalam perancangan pembangunan negeri.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan agenda Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dengan berperanan sebagai kumpulan semak dan imbang yang konstruktif terhadap kerajaan negeri.

"Antara perkara dibangkitkan adalah nisbah harga rumah median berbanding pendapatan median di Selangor mencecah 5.8 kali ganda, sekali gus meletakkan negeri ini dalam kategori sangat tidak mampu milik mengikut piawaian antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohamed Sukri memberitahu, kerajaan negeri perlu meningkatkan peruntukan pembangunan perumahan mampu milik, menurunkan had harga rumah bagi pembeli rumah pertama serta memperluaskan skim sewa beli (RTO) bagi membantu golongan muda memiliki kediaman.

"Rumah berharga RM300,000 dilabel sebagai mampu milik sebenarnya masih gagal dibeli golongan B40 dan M40," ujar beliau.

Mengulas isu vape, beliau berkata, kerajaan negeri perlu menggunakan kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengharamkan pelesenan premis jualan rokok elektronik itu secara menyeluruh.

Katanya, desakan itu susulan peningkatan penggunaan vape dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun di Malaysia daripada 9.8 peratus kepada 14.9 peratus berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS).

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu pengurusan banjir yang didakwa masih belum cekap terutama membabitkan kawasan kerap mengalami banjir kilat sehingga menjejaskan aktiviti kekeluargaan, ekonomi dan industri.

Menurutnya, kelemahan sistem saliran lama serta kelewatan pelaksanaan projek mitigasi perlu ditangani bagi mengelakkan rakyat terus menanggung kerugian harta benda.

Dalam aspek alam sekitar, katanya, Pemuda Pas Selangor turut menggesa kerajaan negeri menyediakan dana bagi membangunkan hab pelupusan dan loji kitar semula khusus untuk sisa bateri kenderaan elektrik (EV) serta panel solar terpakai.

Beliau berkata, langkah itu penting memandangkan Selangor menghasilkan kira-kira 10,000 tan sisa pepejal sehari, selain berdepan keperluan pengurusan sisa elektronik yang semakin meningkat.

"Pemuda Pas Selangor turut meminta peruntukan khas disalurkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi membaik pulih sekolah agama daif, menaik taraf kemudahan keselamatan dan memperlengkap prasarana digital institusi pendidikan berkenaan," jelas beliau.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri diminta memperkukuh peruntukan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi meningkatkan usaha penguatkuasaan dan menangani penyebaran ajaran sesat.

Beliau turut mendakwa ADUN pembangkang masih tidak menerima peruntukan pembangunan pusat khidmat yang sama rata dengan wakil kerajaan negeri.

"Belanjawan 2027 perlu memaktubkan dasar pemberian dana kawasan yang adil, telus dan sekata kepada kesemua 56 ADUN tanpa mengira latar belakang parti politik.

"Dua lagi perkara dibangkitkan ialah keperluan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti," tambah beliau.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri berkata, isu guna tenaga tidak penuh dalam kalangan graduan perlu ditangani menerusi usaha menarik pelaburan berimpak tinggi yang mampu menawarkan pekerjaan berkemahiran dan pendapatan lebih baik.

Dalam pada itu, beliau berkata, data kesejahteraan rakyat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut menunjukkan kemerosotan beberapa komponen termasuk pendidikan, keselamatan awam, persekitaran kerja dan kesejahteraan alam sekitar.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri perlu menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas bagi menangani kemerosotan itu termasuk memperkasakan program sokongan psikososial keluarga dan melindungi kawasan hijau.

"Rakyat Selangor berhak mendapat sebuah bajet yang lebih kepada rakyat dan bukan hanya menguntungkan kelompok elit tertentu," katanya.