JASIN- Faktor anak tempatan menjadi sandaran calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Rabaie Ab Hamid untuk mencabar penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Menurutnya, kelebihan sebagai anak jati Bemban membolehkannya lebih memahami keadaan serta keperluan penduduk berbanding calon lain yang disifatkannya sebagai orang luar.
Malah, maklum balas diterimanya hasil aktiviti turun padang menunjukkan beliau mempunyai sokongan asas yang kukuh, khususnya di kampung kelahirannya, Kampung Tehel.
“Daripada maklum balas hasil turun padang ke kawasan, saya mendapat sokongan daripada banyak pihak, khususnya dari kampung sendiri.
“Bemban adalah tanah kelahiran saya dan saya lebih mengenali kampung serta kawasan sendiri. Itu antara kelebihan yang saya ada,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bilik Gerakan Bersatu DUN Bemban.
**media[3699263]**
Graduan bidang Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan mempunyai latar belakang akademik dalam bidang Analisis Pelaburan dari Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT University), Australia itu turut melihat faktor sebilangan penyokong Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati terhadap parti itu.
Ia memandangkan parti tersebut tidak meletakkan calon di Bemban, meskipun mereka sudah bekerja keras membuat persiapan sebelum kerusi berkenaan diberikan kepada Perikatan Nasional (PN).
Katanya, terdapat pihak yang membantah keputusan itu sehingga mengadakan protes dan menaikkan sepanduk, sekali gus dilihat berpotensi memberikan kelebihan kepadanya dalam persaingan kali ini.
Beliau juga mendakwa sebahagian pengundi menolak calon PN berdasarkan penilaian terhadap prestasi penyandang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini.
Ditanya mengenai perjalanan kempen, Rabaie berkata, setakat ini semuanya berjalan dengan baik dan beliau memberi tumpuan untuk menemui seramai mungkin pengundi di kawasan berkenaan.
Jelasnya, meskipun PRN kali ini merupakan pengalaman pertamanya bertanding dalam pilihan raya, beliau sudah lama terlibat dalam Bersatu sejak 2020.
Mengenai tekanan berdepan calon lain, Rabaie berkata, setiap calon pastinya mempunyai cabaran tersendiri, namun beliau melihat persaingan itu sebagai satu perlawanan sihat.
Dalam pada itu, beliau mengenal pasti isu banjir sebagai antara masalah utama yang perlu diberi perhatian di Bemban, selain kemudahan lampu jalan.
Menurutnya, keadaan banjir menunjukkan sedikit perubahan berbanding lima tahun lalu, namun masih banyak ruang untuk penambahbaikan, terutama menjelang penghujung tahun apabila beberapa kawasan berisiko berdepan masalah berkenaan.
Antara kawasan dikenal pasti ialah Asam Kumbang, Lubuk Kasau dan Tehel.
Beliau turut membangkitkan kelewatan pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Duyung yang menurutnya masih belum disiapkan.
Pada PRN kali ini, Rabaie berdepan saingan empat penjuru menentang Dr Mohd Yadzil yang mewakili PN, Dr Muhammad Solehin Saleh daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan calon Bebas, Abd Halim Said.
Pada PRN Melaka 2021, Mohd Yadzil memenangi kerusi DUN Bemban dengan memperoleh 4,211 undi, menewaskan calon BN, Koh Chin Han yang mendapat 3,883 undi dengan majoriti 328 undi.
Calon Pakatan Harapan (PH), Tey Kok Kiew memperoleh 3,095 undi manakala dua calon Bebas, Ng Choon Koon dan Azmi Kamis masing-masing mendapat 850 dan 130 undi.