PRN Melaka: Pertemuan positif, MCA tak tarik diri - Ahmad Zahid

MELAKA – Barisan Nasional (BN) menegaskan tiada isu berhubung kemungkinan MCA menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya pertemuan antara pimpinan parti itu berlangsung secara positif.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertemuan membabitkan Presiden MCA, Setiausaha Agung BN dan Ketua Menteri Melaka itu memperlihatkan perkembangan yang positif.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk mengumumkan hasil pertemuan berkenaan.

“Pertemuan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memperlihatkan pencapaian-pencapaian yang positif.

“Saya tidak dapat mengumumkannya kerana saya telah memberi mandat kepada Ketua Menteri Melaka untuk membuat pengumuman. Kena tanya beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Pemerkasaan Wanita melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (JELITA) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada Selasa.

Pada pengumuman calon BN PRN Melaka di MITC pada Sabtu lalu, pemimpin MCA bertindak keluar dewan sebagai protes terhadap agihan kerusi.

MCA dilapor bertegas tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN bagi PRN Melaka tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi parti.

Presidennya dilaporkan berkata, tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan MCA tidak boleh diterima, selain mendakwa kerusi yang sebelum ini ditandingi parti itu diberikan kepada parti lain.

Mengulas mengenai dakwaan MCA menarik diri daripada PRN Melaka, Ahmad Zahid menegaskan perkara itu tidak berbangkit dalam pertemuan berkenaan.

“Tak ada, tak ada, tak timbul langsung. Pertemuan positiflah, tak gaduh,” katanya.