PH mahu tawan Melaka atau sekadar tambah kerusi?

HANYA 2.6 mata peratus memisahkan undi popular Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021, namun jurang kemenangan kedua-duanya mencecah 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kini, PH hanya mempertaruhkan calon di 21 daripada 28 kerusi pada PRN 14 November depan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada gabungan itu benar-benar mahu mengambil alih pentadbiran negeri atau sekadar menambah kerusi.

PH menyasarkan mempertahankan lima kerusi dan merampas sekurang-kurangnya empat lagi, namun sasaran sembilan kerusi masih jauh daripada majoriti mudah 15 kerusi untuk membentuk kerajaan sendiri.

Bagi mencapai angka itu, PH perlu memenangi lebih tujuh daripada setiap 10 kerusi ditandingi, sekali gus mempunyai ruang yang kecil untuk tewas tanpa sokongan parti lain.

Berbeza dengan PRN Johor dan Negeri Sembilan apabila PH bertanding di semua DUN, tujuh kerusi Melaka tidak diumumkan calon dan belum ada pengesahan ia akan diberikan kepada sekutu politik lain.

**media[3689270]**

Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi berpandangan, sasaran itu lebih mencerminkan pendekatan realistik untuk memperkukuh kedudukan PH.

“Pada PRN 2021, PH memperoleh 35.8 peratus undi popular tetapi hanya memenangi 17.9 peratus kerusi. Sebaliknya, BN meraih sekitar 38.4 peratus undi popular sebelum menguasai 75 peratus kerusi DUN.

“Perbezaan undi popular kedua-dua gabungan hanya sekitar 2.6 mata peratus, namun jurang kemenangan mencapai 16 kerusi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, antara kelemahan PH ialah sokongan terlalu tertumpu di empat kerusi dimenangi DAP iaitu Kota Laksamana, Kesidang, Bandar Hilir dan Ayer Keroh yang mencatatkan majoriti terkumpul 35,133 undi.

Dalam sistem first-past-the-post, kemenangan dengan majoriti 10,000 undi tetap memberikan satu kerusi, sama seperti kemenangan dengan majoriti 100 undi.

“Saya melihat kelemahan PH bukan semata-mata kekurangan undi atau jentera, sebaliknya kesukaran menyebarkan sokongan secara kompetitif di kawasan campuran dan majoriti Melayu,” jelasnya.

Menurut Anis Anwar, perbezaan saiz kawasan turut menjadi cabaran apabila Kesidang mempunyai 37,304 pengundi berdaftar pada 2021 berbanding 10,133 di Tanjung Bidara, sedangkan masing-masing memilih seorang ADUN.

Bagaimanapun, persempadanan turut mengambil kira faktor geografi, kepentingan bandar dan luar bandar serta keluasan kawasan, bukan semata-mata bilangan pengundi.

Peluang di kerusi marginal

Menurut Anis Anwar, peluang PH tidak boleh dinilai berdasarkan PRN 2021 semata-mata kerana pengagregatan undi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengikut sempadan DUN menunjukkan gabungan itu mendahului di beberapa kawasan yang pernah kalah.

Pada PRN 2021, BN menang tipis di Pengkalan Batu dengan majoriti 131 undi, Duyong (200), Durian Tunggal dan Gadek (masing-masing 559), Paya Rumput (629) serta Rembia (860).

Bagaimanapun, pengiraan berdasarkan PRU15 menunjukkan PH mendahului di kawasan berkenaan, sekali gus menggambarkan potensi perubahan persaingan.

“Contohnya, di Bukit Tambun dalam DUN Durian Tunggal, BN mendahului 3.3 mata peratus pada PRN 2021, tetapi PH mendahului sembilan mata peratus dalam undi biasa PRU15.

“Perubahan kadar keluar mengundi, pertambahan pengundi selepas pelaksanaan Undi18 dan penyusunan semula gabungan politik menjadikan landskap persaingan berbeza,” katanya.

Cabaran PH semakin ketara apabila BN dan Pas bersama rakan strategik menyelaraskan pembahagian kerusi, dengan BN bertanding di 21 DUN dan baki tujuh diperuntukkan kepada rakan politiknya.

Anis Anwar berkata, kerjasama seumpama itu berlaku pada PRN Negeri Sembilan Ogos lalu apabila BN memenangi 18 kerusi dan PN tujuh, sekali gus membentuk kerajaan dengan penguasaan 25 daripada 36 DUN.

**media[3689271]**

Simulasi berdasarkan keputusan Melaka 2021 menunjukkan, jika undi BN dan PN digabungkan, mereka mendahului PH di Sungai Udang dengan kelebihan 11,013 undi, Bemban (4,999) dan Bukit Katil (2,658).

Sebaliknya, PH masih mempunyai kelebihan di Kota Laksamana sebanyak 10,304 undi, Bandar Hilir (7,144), Kesidang (7,113) dan Ayer Keroh (3,145).

Bagaimanapun, simulasi itu tidak menjamin semua penyokong akan memindahkan undi kepada rakan gabungan apabila kerjasama politik dibentuk.

Bagi Anis Anwar, ukuran kejayaan PH bukan hanya pertambahan kerusi, tetapi kemampuan mengatasi kelemahan taburan undi dan menembusi kawasan yang sukar dikuasai.

“Dalam persaingan dengan BN-Pas, usaha menawan Melaka memerlukan perubahan sokongan yang jauh lebih besar daripada sekadar menambah beberapa kerusi,” jelasnya.

Persaingan turut memperlihatkan perbandingan rekod kepimpinan Pengerusi PH Melaka, Datuk Seri Adly Zahari dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf mempunyai kelebihan sebagai penyandang, termasuk rekod pelaburan diluluskan RM14.68 bilion melibatkan 312 projek pada 2025.

Namun, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Melaka menyederhana daripada 4.2 peratus pada 2024 kepada 3.0 peratus pada 2025, lebih rendah berbanding pertumbuhan nasional 5.2 peratus.

Perbezaan itu menimbulkan persoalan sejauh mana pelaburan diluluskan dapat direalisasikan dan diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pendapatan serta kesejahteraan rakyat.

Adly pula pernah mengetuai kerajaan negeri dari 2018 hingga 2020, selain berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Alor Gajah.

Pengalaman pentadbiran dan hubungannya dengan Kerajaan Persekutuan menjadi modal politik, namun PH masih perlu membuktikan kemampuan menembusi kawasan di luar kubu tradisinya.

Dengan sasaran minimum sembilan kerusi dan tujuh kawasan tidak ditandingi, persoalannya bukan sekadar sejauh mana PH mampu menambah wakil rakyat, tetapi peranan yang mahu dibawanya dalam pentadbiran Melaka selepas 14 November.