Bersatu persoal tindakan Takiyuddin panggil mesyuarat tergempar PN

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan tindakan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memanggil mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN pada Ahad.

Ini kerana Notis Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembatalan pendaftaran gabungan itu telah difailkan pada tarikh sama surat jemputan mesyuarat tersebut dikeluarkan.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, partinya menerima surat jemputan daripada Takiyuddin bertarikh 23 Oktober berhubung mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata, sebagai Setiausaha Agung Bersatu, beliau telah menghantar surat balasan kepada Takiyuddin bagi menjelaskan beberapa perkara penting untuk perhatian pihak yang mengeluarkan jemputan itu.

Menurutnya, Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah membuat keputusan membatalkan pendaftaran PN berkuat kuasa dari tarikh perintah pembatalan yang dibuat pada 20 Oktober 2026.

"Walaupun PN memperoleh perintah penggantungan pelaksanaan (stay) daripada Mahkamah Tinggi pada 22 Oktober lalu berhubung keputusan RoS, mahkamah turut mengambil maklum bahawa pembatalan pendaftaran PN telah pun berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, mahkamah juga menerima perintah penggantungan pelaksanaan tidak boleh dianggap secara automatik memulihkan pendaftaran yang telah dibatalkan, seperti dinyatakan dalam Ringkasan Alasan Penghakiman, perenggan 12, muka surat empat.

Azmin berkata, Notis Rayuan telah difailkan oleh Peguam Kanan Persekutuan pada 23 Oktober bagi pihak RoS dan Menteri Dalam Negeri untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur, Datuk Azizan Md Arshad, pada 22 Oktober lalu.

"Keputusan itu membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan perintah pembatalan pendaftaran yang dikeluarkan RoS," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tindakan Takiyuddin mengeluarkan surat panggilan mesyuarat pada 23 Oktober, sedangkan beliau mengetahui bahawa Notis Rayuan telah difailkan pada hari sama.

"Bersatu berpendapat semua pihak perlu memelihara status quo keputusan RoS sehingga semua peringkat prosiding mahkamah selesai sepenuhnya," katanya.

Azmin turut mengingatkan bahawa Seksyen 41 Akta Pertubuhan 1966 memperuntukkan mana-mana pertubuhan yang pendaftarannya dibatalkan menjadi pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya, Seksyen 42 akta sama pula memperuntukkan bahawa mana-mana pemegang jawatan atau individu yang menguruskan atau membantu pengurusan pertubuhan yang menyalahi undang-undang melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun.

“Sekiranya Pas dan sekutunya masih meneruskan mesyuarat ‘Majlis Tertinggi Perikatan Nasional’ dalam situasi yang dijelaskan di atas, Bersatu khuatir perjalanan mesyuarat dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat ini mempunyai implikasi perundangan yang serius,” katanya.

Beliau berkata, Bersatu akan membawa perkara itu untuk dibincangkan bersama peguam bagi memastikan pelaksanaan hukum mengikut Perlembagaan PN dan Akta Pertubuhan 1966 dilakukan secara sah dan tertib.

Selain isu pembatalan pendaftaran, Azmin berkata, terdapat beberapa perkara lain yang sering menjadi pertikaian kepimpinan PN sebelum pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh RoS.

Katanya lagi, perkara berkenaan termasuk alasan untuk menafikan hak Bersatu menghadiri, memberikan pendapat dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026.

Menurutnya, alasan yang diberikan ketika itu berkaitan isu korum Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang didakwa boleh menjejaskan keabsahan mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

"Keanggotaan Bersatu dalam PN turut sering dipertikaikan, sedangkan RoS menegaskan dalam surat bertarikh 12 Ogos 2026 bahawa Bersatu ialah parti anggota yang sah dalam gabungan berkenaan," tegasnya.

Sehubungan itu, Azmin berkata, Pas dan sekutunya perlu menyatakan pendirian mengenai isu korum MPT Bersatu serta keanggotaan Bersatu dalam PN sebelum meneruskan mesyuarat tergempar dan menjemput wakil Bersatu menghadirinya.

Menurutnya, kegagalan berbuat demikian setakat ini menimbulkan persoalan mengenai keabsahan notis mesyuarat berkenaan.

“Bersatu sedang meneliti dan memantau perkembangan selanjutnya dan akan merujuk kepada pasukan peguam sebelum mengambil sebarang pendirian,” katanya.