PRN Melaka: BN kekalkan Akmal di Merlimau, Helmy di Duyong

MELAKA - Barisan Nasional (BN) mengekalkan dua penyandangnya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem di DUN Duyong bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon Barisan Nasional Negeri Melaka sempena Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC).

Keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kedudukan kedua-dua pemimpin UMNO berkenaan yang sebelum ini menjadi antara nama diberi perhatian menjelang pengumuman calon BN.

Akmal sebelum ini mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan politiknya di Merlimau selepas memberi bayangan kemungkinan berpindah ke kerusi lain, termasuk Serkam atau Sungai Rambai.

Namun, beliau akhirnya kekal diberi kepercayaan mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya pada PRN 2021 dengan majoriti 3,248 undi.

Sementara itu, Helmy turut dikekalkan di Duyong selepas sebelum ini timbul spekulasi mengenai kemungkinan perubahan calon bagi beberapa kerusi penyandang BN.

Untuk rekod, Helmy merupakan penyandang DUN Duyong dan antara pemimpin UMNO Melaka yang konsisten turun padang dalam kawasan berkenaan.

Keputusan mengekalkan kedua-dua penyandang itu dilihat memberi kesinambungan kepada jentera BN di Merlimau dan Duyong, ketika parti itu mempertahankan sasaran menguasai 21 kerusi DUN pada PRN kali ini.

BN akan bertanding dalam PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 14 November, dengan penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November. - Awani