PH tidak datang kosong, bawa harapan tawan Melaka - Amirudin

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) yakin mampu membawa perubahan di Melaka menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dengan mengajak rakyat memberikan mandat kepada gabungan itu untuk mentadbir negeri berkenaan.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PH tidak datang dengan tangan kosong, sebaliknya membawa harapan, bukti serta pengalaman pentadbiran di pelbagai peringkat, termasuk di Melaka.

Menurutnya, tanggapan bahawa Melaka tidak akan berubah dan sentiasa menjadi kubu kuat UMNO perlu diketepikan kerana keputusan pilihan raya terdahulu membuktikan rakyat mampu membuat pilihan berbeza.

“PH tidak datang dengan tangan kosong. Kita datang membawa harapan, bukti dan juga pengalaman, termasuk pengalaman pentadbiran di negeri Melaka.

“Saya sebagai Pengarah Pilihan Raya PH mempunyai keyakinan bahawa Melaka boleh melakukan perubahan dengan mengundi PH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengumuman calon dan pelancaran jentera pilihan raya PH bagi PRN Melaka ke-16 di pekarangan Stadium Hang Jebat di sini pada Sabtu.

Amirudin yang Menteri Besar Selangor berkata, PH turut membawa gagasan menjadikan Melaka sebagai rumah bersama untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang atau kelompok tertentu.

Katanya, pentadbiran yang baik perlu memastikan rakyat dapat hidup dengan selesa dan aman damai, selain menikmati kemakmuran hasil pembangunan negeri.

“Ketika kita membangun, jangan sampai ada yang tercicir. Kita mahu memastikan pelancongan dan pelaburan berkembang, tetapi pada masa sama rakyat Melaka juga dapat hidup dengan baik.

“Golongan yang susah perlu dibantu, manakala mereka yang ingin belajar perlu diberikan sokongan,” katanya.