Wujudkan akta khusus tangani pertikaian parti politik - Bersih

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mencadangkan supaya akta khusus bagi mengawal selia parti politik diwujudkan susulan pertikaian berhubung keputusan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), baru-baru ini.

Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kewujudan Akta Parti-Parti Politik perlu dipertimbangkan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menangani pertikaian politik dan memperkukuh tadbir urus parti politik di negara ini.

"Apabila Parti Politik berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], persoalan boleh berbangkit tentang kebebasan Pendaftar Pertubuhan dari pengaruh eksekutif walaupun Seksyen 3 (1) Akta tersebut secara jelas menyatakan pelantikan Pendaftar hanya dibuat oleh YDPA (Yang di-Pertuan Agong).

"Justeru, melihat kepada penyelesaian jangka panjang, adalah wajar untuk parti politik didaftarkan dan dikawal selia oleh Akta Parti-Parti Politik secara berasingan dari pertubuhan-pertubuhan lain," katanya dalam kenyataan di laman X.

Mengambil contoh pelaksanaan Political Parties Act 2011 di Kenya, beliau berkata, Seksyen 35 akta itu menggariskan kaedah penubuhan dan keanggotaan Jawatankuasa Pemilih yang bertanggungjawab untuk melantik Pendaftar Parti Politik.

"Keanggotaanya meliputi pihak yang dilantik Presiden (bukan eksekutif), wakil Law Society of Kenya, wakil Parti Politik mewakili Parlimen dan Senat serta pegang taruh lain.

"Seterusnya, cadangan nama yang diputuskan harus dibentangkan di Parlimen (The National Assembly) untuk ditentukan sama ada diluluskan atau ditolak (Jadual 6)," ujarnya.

Jelas Muhammad Faisal, kepentingan akta terbabit bukan sahaja melibatkan soal lantikan Pendaftar, tetapi merangkumi tatacara pembentukan gabungan parti-parti politik sama ada sebelum atau selepas pilihan raya.

"Akta ini turut berperanan mengawal selia kewangan parti politik dengan kewajipan untuk parti politik mengisytiharkan aset, perbelanjaan, sumbangan dana politik.

"Selain itu, mewujudkan satu tribunal khas untuk mengadili pertikaian antara ahli dalam parti, antara ahli dan parti, dan antara anggota gabungan politik, sebagai ruang untuk pihak terlibat mendapatkan keadilan dan hak untuk didengari," katanya lagi.

Beliau turut menggesa wacana khusus harus dilaksanakan secara berperingkat oleh pemegang taruh termasuk pimpinan politik bagi menilai keperluan akta berkenaan.