PRN Melaka: Calon BN belum ‘final’ sehingga diumum Sabtu ini - Ab Rauf

MELAKA - Senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih belum muktamad dan hanya akan diputuskan pada malam pengumuman calon, Sabtu ini.

Pengarah Pilihan Raya BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, calon yang berpotensi bertanding sudah dikenal pasti dan berada dalam senarai pendek.

Menurutnya, keputusan muktamad hanya akan dibuat pada malam 24 Oktober ini.

“Calon belum dimuktamadkan lagi tetapi sudah ada dalam senarai pendek. Calon dimuktamadkan malam itulah, 24 Oktober ini,” katanya menjawab kemungkinan nama besar yang akan digugurkan PRN Melaka, 14 November ini.

Beliau berkata demikian Mesyuarat Jawatankuasa Induk BN bagi Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16 di MITC pada Khamis.

Dalam pada itu, Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka merakamkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Melaka.

Beliau berkata, tanggungjawab itu akan dilaksanakan sebaik mungkin, termasuk menyelaras tugas dan peranan ketua-ketua parti komponen bagi membantu gerak kerja pilihan raya di negeri ini.

“Kesefahaman dan kesepakatan antara parti komponen diharap dapat membantu BN mencapai matlamatnya pada PRN Melaka kali ini.

“Saya ucap terima kasih kepada Ahmad Zahid kerana memberikan saya tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Melaka. Insya-ALLAH,” katanya.