KUALA LUMPUR - Senarai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini sedang dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi parti.
Ketua Wanita PKR, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, senarai berkenaan telah pun dihantar untuk pertimbangan dan keputusan akhir.
"Keputusan akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi PKR untuk menentukan calon-calon kita. Jadi, perkara itu sedang dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk "Belanjawan 2027: Memperkukuh Pendidikan, Melakar Masa Depan" di Wisma Bernama, pada Khamis.
Ketika ditanya sama ada calon yang bakal ditampilkan terdiri daripada muka lama atau sebaliknya, Fadhlina menegaskan bahawa keutamaan parti ialah memastikan calon yang dipilih berjiwa rakyat dan bersedia untuk berkhidmat.
"Insya-Allah, yang penting mereka bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat. Pastinya kita mahu memberikan yang terbaik daripada parti kita untuk rakyat,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 November sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka, dengan penamaan calon pada 31 Oktober dan undi awal pada 10 November.
PRN Melaka yang diadakan pada 2021 menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri, manakala Pakatan Harapan menang lima kerusi dan Perikatan Nasional memperoleh dua kerusi. - Bernama