SHAH ALAM - Pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) tidak semestinya menghapuskan kekuatan pembangkang, tetapi boleh melemahkan kesatuan organisasi, penyelarasan strategi dan identiti politik bersama.
Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, jika pertikaian dalaman berpanjangan, pembangkang boleh berhadapan masalah koordinasi yang akhirnya menjejaskan keupayaan mereka berfungsi sebagai blok politik yang tersusun.
Menurutnya, ini kerana kekuatan pembangkang bukan sekadar bergantung kepada jumlah penyokong, tetapi juga kemampuan menggembleng jentera, menyelaraskan pembahagian kerusi dan menampilkan kepimpinan yang mempunyai hala tuju bersama.
“Pas dan Bersatu masih boleh bekerjasama secara politik melalui persefahaman antara parti, tertakluk kepada undang-undang dan peraturan pilihan raya namun kerjasama tanpa organisasi rasmi memerlukan persetujuan yang lebih jelas.
“Keseimbangan kuasa pembangkang akan ditentukan bukan semata-mata oleh parti yang mempunyai jumlah wakil rakyat lebih besar tetapi keupayaan membina keputusan bersama dan mengurus perbezaan kepentingan.
“Cabaran utamanya ialah memastikan persaingan kepimpinan tidak mengatasi keperluan untuk mengekalkan fungsi pembangkang yang berkesan dalam sistem demokrasi,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berpendapat, pembatalan ini berpotensi menyusun semula landskap politik Melayu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Tambahnya, jika Pas memilih bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), ia berpotensi mengubah persaingan PRU16 secara signifikan.
Jelasnya, namun jika rundingan gagal, Pas perlu membuktikan bahawa kekuatan partinya sendiri mencukupi untuk mengekalkan momentum pilihan raya.
“Jadi saya fikir pembatalan PN bukan sekadar krisis pendaftaran, tetapi membuka ruang kepada penjajaran politik baharu.
“Persoalan utama PRU16 bukan lagi adakah Pas dan Bersatu boleh menghidupkan semula kerjasama lama, tetapi siapa yang mampu membina pakatan baharu, mengelakkan pertembungan kerusi dan meyakinkan pengundi bahawa mereka berupaya membentuk kerajaan.
“Dalam masa sama, saya menjangkakan keseimbangan kuasa dalam pembangkang berpotensi beralih lebih memihak kepada Pas, khususnya jika parti itu dapat mengekalkan jentera, sokongan teras dan penyelarasan calon dengan lebih baik berbanding rakan komponennya dan mungkin BN,” ujarnya.