'Saya akan tanggung sepenuhnya' - Akmal tarik balik nombor akaun selepas terima sumbangan RM45,102

SHAH ALAM - Baru berapa jam muat naik hantaran mengenai tawaran motosikal jenis Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya untuk dibida, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menarik semula nombor akaun banknya yang dipaparkan menerusi laman Facebook.

Muhamad Akmal berkata, keputusan itu dibuat susulan hampir semua yang memasukkan duit ke akaun tersebut dengan tujuan untuk menyumbang bukan membuat bidaan.

Menurutnya, sehingga kenyataan ini dibuat beliau sudah menerima hampir RM 45,102.18.

"Saya mohon maaf kerana terpaksa menarik semula nombor akaun saya di dalam posting yang sebelum ini.

"Saya sangat-sangat berterima kasih, tetapi niat saya adalah untuk berusaha terlebih dahulu untuk menjual aset saya iaitu motor dan ikan.

"Saya sejujurnya tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak untuk membantu kerana saya akan bertanggungjawab. Maka insya-ALLAH saya akan tanggung sepenuhnya," ujarnya pada Rabu.

Sebelum ini, Muhamad Akmal menawarkan motosikal jenis Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya untuk dibida bagi mengumpul wang membayar ganti rugi serta kos mahkamah berjumlah RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kes saman fitnah yang difailkan pada tahun 2024.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan kewangannya termasuk simpanan sedia ada yang masih belum mencukupi untuk menjelaskan jumlah berkenaan.

Dalam masa sama, Muhamad Akmal turut memohon kepada semua agar menghentikan sumbangan tersebut.

"Saya mohon untuk jangan masukkan lagi duit ke akaun saya agar saya tidak rasa bersalah dengan semua. Tidak mengapa saya tanggung, hanya perlukan doa dari anda semua sahaja.

"Jadi kepada sesiapa yang mahu membeli motor, akan berikan perincian selepas ini dan boleh terus mesej saya," ujarnya.