MB Perlis digantung keahlian Bersatu

KANGAR – [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mengantung keahlian Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah selama dua penggal pemilihan parti berkuat kuasa 13 Oktober lalu.

Surat bertarikh 14 Oktober 2026 itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan yang memaklumkan keputusan penggantungan keahlian Abu Bakar yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kangar.

Perkara tersebut disahkan Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim selepas surat penggantungan itu tular di media sosial.

“Ya betul, surat dikeluarkan minggu lepas lagi. Menteri Besar juga sudah mengetahui mengenai surat penggantungan itu.

“Buat masa ini, kita sedang menunggu keputusan rasmi daripada kepemimpinan Bersatu Pusat dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas,” katanya pada Rabu.

Berdasarkan surat yang tular, Lembaga Disiplin parti yang bersidang pada 13 Oktober lalu memutuskan menggantung Abu Bakar mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu bagi tempoh dua penggal pemilihan parti.

Tindakan itu diambil susulan dakwaan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Abu Bakar juga dilucutkan daripada semua jawatan yang dipegang dalam parti dan dilarang membuat sebarang kenyataan atas nama parti tersebut sepanjang tempoh penggantungan.

Walaubagaimanapun, beliau masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.