PEMBATALAN pendaftaran Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) susulan aduan Bersatu sendiri membuka satu persoalan politik yang tidak kurang besar daripada nasib gabungan itu iaitu adakah parti pengasas berkenaan akan mengambil peluang menghidupkan semula jenama PN tanpa Pas?
Persoalan itu penting kerana PN bukan sekadar nama pada kertas pendaftaran. Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022, gabungan tersebut meraih 4.72 juta undi atau 30.2 peratus undi popular dan memenangi 74 kerusi Parlimen, muncul sebagai blok kedua terbesar di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, jenama besar tidak semestinya menjamin sokongan berkekalan. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, PN memperoleh 334,457 undi, sekitar 24 peratus dan tiga kerusi. Pada PRN negeri sama Julai lalu, sokongannya merosot kepada 102,090 undi atau 5.4 peratus tanpa memenangi sebarang kerusi.
Gambaran berbeza muncul di Negeri Sembilan pada Ogos. Calon menggunakan lambang PN meraih 130,407 undi dan menang tujuh daripada 11 kerusi, masing-masing empat melalui Pas dan tiga Wawasan. Bersatu pula bertanding menggunakan lambang sendiri di 24 kerusi, tetapi gagal menang dengan hanya 16,757 undi.
Angka tiga pilihan raya itu tidak boleh dibandingkan secara langsung kerana kawasan, calon dan kadar keluar mengundi berbeza. Namun, ia menimbulkan persoalan tentang nilai sebuah jenama politik kepada Bersatu, selain kekuatan sebenar jentera dan rakan gabungan yang berada di belakangnya.
Penganalisis politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, pembatalan PN boleh memberi manfaat tidak langsung kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) jika perpecahan pembangkang menyebabkan pertandingan pelbagai penjuru.
“Pembatalan ini menyebabkan Pas dan Bersatu hanya kekal mendapat sokongan dalam lingkungan penyokong tegar dan ahli semata-mata kerana pengundi yang tidak berparti atau atas pagar sukar memberi undi kepada Pas dan Bersatu, melainkan hanya kepada jenama yang lebih sederhana iaitu PN sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.
**media[3684396]**
Percaturan baharu
Pada masa sama, pembatalan itu memungkinkan Bersatu menilai semula kedudukannya selepas hubungan dengan Pas meruncing. Sebagai pengadu kepada RoS, Bersatu tidak secara automatik mendapat hak terhadap PN, tetapi boleh meneroka kerjasama baharu dengan susunan kepimpinan yang memberikannya pengaruh lebih besar.
“Dari sudut politik, pembentukan sebuah gabungan baharu tanpa Pas merupakan antara kemungkinan yang boleh dipertimbangkan oleh Bersatu. Namun, andaian bahawa Bersatu boleh mendaftarkan semula PN tanpa Pas tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang pasti,” ujar Mohammad Tawfik.
Menurutnya, persoalan lebih penting ialah kemampuan gabungan baharu mendapatkan kepercayaan rakyat dalam masa singkat, bukannya sekadar menggunakan semula nama atau lambang lama.
Perkembangan hubungan Bersatu dengan PH menambah dimensi kepada kemungkinan itu. PH Melaka sebelum ini mengakui adanya perbincangan mengenai kerjasama PH Plus yang turut melibatkan Bersatu, sementara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Selasa menjelaskan perancangan kerjasama kerajaan negeri adalah dengan Bersatu, bukannya PN.
Namun, hubungan tersebut belum membuktikan wujud persetujuan pilihan raya, apatah lagi rancangan kerajaan membantu Bersatu mendaftarkan PN baharu.
Dari sudut percaturan politik, PH mempunyai ruang meneroka kerjasama dengan Bersatu, manakala BN pula sedang meneliti kemungkinan persefahaman bersama Pas menjelang PRN Melaka. Bagaimanapun, kerjasama antara parti tidak semestinya membawa perpindahan sokongan pengundi secara automatik.
Sekalipun Bersatu memperoleh kembali nama PN, cabarannya belum selesai. Gabungan yang dahulunya dikenali sebagai alternatif kepada PH perlu menjelaskan perubahan haluan sekiranya semakin rapat dengan PH. Belum tentu pengundi yang memilih PN ketika Pas menjadi tonggak utamanya akan menerima jenama sama di bawah susunan berbeza.
Pas pula, menurut Mohammad Tawfik, mempunyai organisasi, jaringan cawangan, keanggotaan serta pengalaman menggerakkan jentera pilihan raya untuk bergerak sendiri atau bersama rakan baharu. Namun, kekuatan akar umbi sahaja tidak menjamin peluasan sokongan merentas kelompok pengundi.
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara, Dr Ikmal Hisham Md Tah, pembatalan PN tidak memberi Bersatu hak automatik terhadap nama, lambang, aset atau kawalan gabungan asal.
“Pembatalan PN boleh membuka ruang rundingan politik dan permohonan baharu, tetapi tidak memberikan mana-mana pihak hak untuk mengambil alih gabungan itu,” katanya.
Beliau menjelaskan permohonan baharu perlu memenuhi syarat Akta Pertubuhan 1966, termasuk perlembagaan, penaja dan struktur kepimpinan, selain tertakluk kepada penelitian RoS terhadap penggunaan nama yang mungkin mengelirukan.
Katanya, pengurusan harta dan liabiliti pula mempunyai mekanisme tersendiri di bawah Seksyen 17 dan 17B, manakala pihak yang terkilan boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 18 dalam tempoh 30 hari.
Ikmal Hisham menegaskan kuasa RoS tetap perlu dilaksanakan secara adil dan berlandaskan pertimbangan relevan, kesahihan pembatalan khusus ini perlu dinilai berdasarkan notis, representasi dan surat keputusan penuh.
Akhirnya, pembatalan PN mungkin membuka ruang rundingan kepada Bersatu, PH, BN dan Pas. Tetapi persoalan paling besar bukan siapa berjaya mewarisi dua huruf PN, sebaliknya sama ada jenama yang pernah membawa jutaan undi itu masih memiliki makna dan kepercayaan sama apabila parti-parti yang membinanya tidak lagi bersama.