MELAKA - Jentera Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor diminta memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti dan mendekati masyarakat berbanding membincangkan soal calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Penyandang kerusi DUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi berkata, soal pemilihan calon perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti, manakala jentera perlu memastikan kemenangan BN di kawasan berkenaan.
Menurutnya, seluruh jentera perlu terus bergerak dan menyantuni masyarakat, terutama ketika negeri semakin menghampiri PRN.
“Jangan cerita soal siapa calon. Itu biar kepimpinan yang tentukan. Apa yang penting, jentera kena kuat untuk memastikan parti terus menguasai Pantai Kundor.
“Yang penting, kita nak birukan DUN Pantai Kundor dan ini juga harapan Ketua Menteri supaya jentera terus bergerak serta menyantuni masyarakat,” katanya ditemui pada Kembara Jentera BN DUN Pantai Kundor pada Rabu.
Mengulas usaha memperkukuh parti menerusi gagasan Rumah Bangsa, Tuminah berkata, inisiatif itu diharap dapat menyatukan semula ahli yang pernah meninggalkan parti, sekali gus memperkukuh kekuatan jentera BN di Melaka.
Katanya, kekuatan jentera menjadi faktor penting bagi memastikan parti mampu menghadapi sebarang cabaran sepanjang tempoh pilihan raya.
“Rumah Bangsa ini ibarat rumah utama kita untuk menyatukan semula anak-anak yang telah pergi jauh supaya kita dapat mengukuhkan dan menguatkan jentera parti.
“Bagi saya, sekiranya jentera BN kuat, apa juga dugaan dari luar tidak akan mudah menggugat kita,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi DUN Pantai Kundor pada PRN kali ini, Tuminah berkata, perkara itu diserahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti.
“Sekarang ini kita kerja, kerja. Kita tunggu 31 Oktober (hari penamaan calon) nanti untuk mengetahui siapa calon.
“Kalau ada rezeki, adalah. Apa pun, kita serahkan kepada pimpinan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, program kembara berkenaan bertujuan mendekati masyarakat, khususnya golongan kurang bernasib baik, selain mengeratkan hubungan antara jentera BN dengan penduduk setempat.
Katanya, kehadiran bekas wakil rakyat DUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang turut menyatakan komitmen membantu menggerakkan jentera parti di kawasan itu juga diharap dapat memperkukuh usaha BN menghadapi PRN akan datang.