SHAH ALAM - Kenaikan gaji minimum pekerja dari RM1,700 kepada RM2,000 dibimbangi mengakibatkan harga barang dan perkhidmatan meningkat sekiranya majikan memindahkan kos tambahan pembayaran gaji kepada pengguna.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, meskipun lebih empat juta pekerja dijangka mendapat manfaat daripada kenaikan itu, kerajaan tetap perlu mengambil kira kesannya terhadap jutaan pekerja lain yang tidak termasuk dalam pelaksanaan tersebut.
Menurut beliau, keadaan itu boleh menyebabkan golongan yang tidak menerima kenaikan gaji turut menanggung peningkatan kos sara hidup jika harga barang meningkat.
"Apabila kos membayar gaji meningkat, adakah kita yakin syarikat-syarikat besar akan sanggup mengurangkan keuntungan mereka?
“Atau akhirnya kos tambahan ini dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga barang?
“Yang dapat kenaikan gaji hanya sebahagian pekerja, tetapi yang mungkin terpaksa menanggung kenaikan harga barang ialah seluruh rakyat. Inilah kesan domino yang kerajaan mesti fikirkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat mengumumkan kenaikan kadar gaji minimum dari RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027.
Pelaksanaan itu melibatkan lebih empat juta pekerja di seluruh negara.
Anwar memaklumkan, kenaikan itu antara langkah kerajaan dalam merapatkan jurang produktiviti dan upah pekerja, selain menangani tekanan kos sara hidup yang berpunca daripada pendapatan rakyat tidak meningkat sejajar kenaikan harga barang.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Akmal berkata, pihaknya menyokong kenaikan gaji pekerja, cuma dasar yang kononnya mahu membantu rakyat tidak boleh dilihat menekan rakyat pada akhirnya.
Atas dasar itu, beliau menggariskan enam langkah untuk pertimbangan kerajaan.
Pertama, katanya, kerajaan mesti memantau harga barang dan perkhidmatan secara berkala selepas pelaksanaan kenaikan gaji.
Tambah beliau, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.
Kedua, beliau menggesa kerajaan memperkukuhkan penguatkuasaan terhadap kartel, pencatutan dan manipulasi harga supaya kos tambahan tidak sewenang-wenangnya dipindahkan kepada pengguna.
Cadangan ketiga pula, katanya, bantuan bersasar perlu diberikan kepada perusahaan mikro dan kecil yang benar-benar terkesan, khususnya dalam bentuk insentif sementara, latihan produktiviti serta sokongan automasi.
"Keempat, kerajaan perlu memastikan pelaksanaan gaji minimum dibuat secara berperingkat dan berdasarkan data dengan mengambil kira kemampuan majikan, produktiviti pekerja serta kos sara hidup mengikut negeri dan sektor.
"Kelima, kerajaan mesti memperluaskan perlindungan kepada pekerja yang tidak menerima kenaikan gaji melalui dasar peningkatan kemahiran, peluang pekerjaan bergaji lebih baik dan semakan gaji menyeluruh.
"Keenam, laporan berkala yang telus tentang kesan dasar ini perlu diterbitkan meliputi harga barang, keuntungan syarikat, peluang pekerjaan dan kuasa beli. Rakyat berhak tahu sama ada dasar ini benar-benar membantu atau sekadar memindahkan beban," ujarnya.