PRN Melaka: PH umum calon lebih kurang seminggu lagi - Amirudin

MELAKA - Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan senarai calon yang akan mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lebih kurang seminggu lagi.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tarikh rasmi pengumuman bagaimanapun masih belum dimuktamadkan kerana pihaknya sedang menunggu pengesahan tarikh dan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Lebih kurang seminggu lebih daripada sekarang l akan kita maklumkan. Saya sedang menunggu tarikh rasmi, tarikh kesediaan dan juga kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Selepas itu nanti saya akan maklumkan paling kurang tiga, empat hari notis awal sebelum kita umumkan tarikh pengumuman calon tersebut," katanya pada Pelancaran Bilik Gerakan Utama PH di Bukit Baru pada Khamis.

Amirudin berkata, proses memuktamadkan nama calon ketika ini masih dilakukan oleh setiap parti komponen PH.

Katanya, berdasarkan tradisi PH, penentuan calon dibuat oleh parti komponen masing-masing sebelum senarai berkenaan dimuktamadkan dan ditandatangani Anwar yang juga Pengerusi PH.

"Walaupun saya Pengarah Pilihan Raya, saya bukan hendak menentukan semua. Ia akan ditandatangani oleh PM ataupun Pengerusi Pakatan Harapan Malaysia, tetapi pemilihan akan ditentukan oleh komponen masing-masing.

"Kalau ada pun satu dua (kerusi), ia adalah isu-isu yang sangat berat yang mungkin akan dikembalikan kepada pengerusi parti masing-masing untuk membuat keputusan.

"Tapi setakat ini tak ada. Insya-Allah calon kita semua berkaliber yang akan membawa, memikul harapan dan juga memikul tanggungjawab bagi PH," katanya.