SHAH ALAM - Mana-mana pihak yang mahu menjadi rakan strategik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu mengambil kira parti itu mempunyai penyandang, organisasi akar umbi dan kepentingan politik di 21 kawasan.
Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, malah Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini telah menegaskan 21 kerusi milik BN tersebut merupakan titik permulaan rundingan, walaupun pertukaran kerusi tertentu boleh dibincangkan.
Menurutnya, pada masa sama, rundingan tidak semestinya bermaksud kesemua 21 kerusi perlu dikekalkan dalam konfigurasi yang sama.
**media[3662763]**
“Pertukaran kerusi boleh berlaku sekiranya terdapat pertimbangan demografi, kekuatan calon atau kebolehmenangan yang berubah namun, sebagaimana pendirian yang telah dinyatakan oleh kepimpinan BN Melaka, jumlah keseluruhan 21 kerusi merupakan asas penting dalam proses tawar-menawar.
“Akhirnya, kekuatan tawar-menawar BN dalam rundingan ini banyak bergantung kepada sejauh mana formula kerjasama dapat mengimbangi tiga perkara iaitu kerusi yang dipertahankan, kebolehmenangan calon dan kestabilan kerajaan selepas pilihan raya.
“Dari perspektif analisis politik, tiga perkara inilah yang lebih penting daripada sekadar menentukan nama gabungan atau parti yang menjadi rakan kerjasama,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Ahad, Ab Rauf memaklumkan rundingan persefahaman politik antara BN dan gabungan parti untuk menghadapi PRN Melaka Ke-16 akan bermula pada Isnin.
Beliau berkata, beberapa perkara asas akan dikemukakan kedua-dua gabungan parti berkenaan termasuk berkaitan ketetapan BN untuk mempertahankan 21 kerusi DUN yang dimenangi pada PRN 2021.
Sementara itu, penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berpendapat, parti yang mahu bekerjasama dengan BN perlu menawarkan nilai tambah, bukannya meminta mengorbankan kawasan yang telah dimenanginya.
Jelasnya, dari perspektif strategi pilihan raya, BN perlu memastikan kerjasama yang dibentuk tidak menjejaskan identiti, autonomi dan kekuatan organisasinya.
**media[3662764]**
“Jika sesuatu pakatan hanya menguntungkan rakan politik tetapi mengehadkan ruang BN untuk mempertahankan kerusi sendiri, maka rasional kerjasama itu wajar dipersoalkan.
“Sebaliknya, kerjasama yang menghormati 21 kerusi BN dan membuka ruang rundingan di kawasan lain boleh menjadi asas kepada persefahaman yang lebih seimbang.
“Namun, jika tiada tawaran yang memenuhi kepentingan strategik BN, bertanding solo kekal sebagai pilihan yang perlu dipertimbangkan,” jelas beliau.