JOHOR BAHRU – Senator Marhamah Rosli disaran direhatkan sementara daripada tugasnya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sepanjang siasatan berhubung dakwaan yang mengaitkannya dengan New Age Movement (NAM) dijalankan.
Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Fadhli Umar Aminolhuda berkata, langkah itu penting bagi memelihara kewibawaan institusi agama serta memberi ruang kepada proses siasatan dan penelitian dilakukan secara bebas, telus dan menyeluruh.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memaklumkan bahawa sesi tabayun bersama beliau diadakan dengan penglibatan Mufti Wilayah Persekutuan dan Panel Pakar Akidah, selain beberapa teguran serta panduan turut diberikan.
“Saya mengambil maklum penafian beliau terhadap dakwaan tersebut. Namun, persoalan yang menyentuh akidah dan dakwaan berkaitan ajaran sesat tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Jakim mengadakan sesi pertemuan dan tabayun bersama Marhamah pada Ahad susulan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran New Age Movement.
Pada 18 September lalu, media melaporkan Marhamah memberikan tempoh 24 jam kepada pihak yang menerbitkan atau menyebarkan dakwaan berkenaan untuk menarik balik kenyataan tersebut.
Menerusi kenyataannya, beliau menafikan segala dakwaan yang dikemukakan dan menuntut pihak terbabit menghentikan penyebaran maklumat itu serta membuat permohonan maaf dan pembetulan secara terbuka.
Dalam perkembangan sama, Fadhli Umar berharap kerajaan memastikan proses siasatan dijalankan secara bebas, telus dan mampu menjawab persoalan yang timbul dalam kalangan masyarakat.
“Penafian beliau serta semua bahan yang dipersoalkan perlu dinilai secara menyeluruh oleh pihak berautoriti tanpa sebarang tekanan politik.
“Saya menggesa siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan sehingga dapatan dimuktamadkan, termasuk dengan penglibatan pakar akidah dan pihak berautoriti yang tidak mempunyai konflik kepentingan,” katanya.
Menurut beliau, cadangan merehatkan Marhamah bukan bermaksud Timbalan Menteri itu telah didapati bersalah, sebaliknya bagi mengelakkan sebarang persepsi konflik kepentingan selain memberi ruang kepadanya menjelaskan dakwaan yang dibangkitkan.
“Jika dakwaan itu tidak berasas, nama beliau perlu dibersihkan sepenuhnya. Jika wujud sebarang kesalahan, tindakan sewajarnya hendaklah diambil tanpa mengira kedudukan.
“Kerajaan mesti mempertahankan kepercayaan rakyat terhadap institusi agama melalui tindakan yang tegas, adil dan telus,” katanya.