PRN Melaka: Bersatu terbuka kerjasama dengan mana-mana parti - Tun Faisal

MELAKA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang membuka ruang rundingan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kerjasama itu bagaimanapun perlu berlandaskan prinsip parti serta mengambil kira kepentingan rakyat dan negeri.

“Bersatu ini macam Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebut, kita terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang membuka pintu rundingan ataupun perbincangan dengan kita, asalkan kita tidak mengorbankan prinsip-prinsip kita.

“Yang kedua, kepentingan rakyatlah dan negeri ini. Jadi bagi saya, itu sangat jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri jamuan makan malam tertutup pra-PRN Melaka di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Tun Faisal berkata, pertemuan berkenaan bagaimanapun bukan rundingan rasmi kerjasama politik, sebaliknya lebih kepada sesi suai kenal dan pertukaran pandangan mengenai perkembangan politik serta pengalaman di negeri lain.

“Tak ada rundingan. Saya pun hadir sebab jemputan makan malam yang dianjurkan oleh pemimpin negeri Melaka.

“Saya rasa bagus untuk kita bertukar-tukar fikiran, berbincang tentang pengalaman-pengalaman di negeri lain sebelum ini dan berkongsi idea macam mana nak melangkah ke depan,” katanya.

Katanya, sebarang rundingan rasmi mengenai kerjasama politik berada pada peringkat kepimpinan yang berbeza.

Katanya, Bersatu akan menyambut mana-mana pihak yang membuka ruang untuk berbincang, termasuk Barisan Nasional (BN).

“Kalau BN buka ruang pada kita pun, Alhamdulillah, kita buka (ruang), pergi jumpa dan kita mungkin boleh berbincang.

“Setakat ini, yang buka ruang untuk kita bersama adalah parti-parti dalam Ikatan Perikatan Rakyat(IPR). Jadi yang itu kita dah semua tahu,” katanya.

Tun Faisal berkata, sesi suai kenal itu sekurang-kurangnya memberi gambaran mengenai realiti politik di Melaka dan membantu parti memikirkan strategi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Yang ini di peringkat negeri lebih kepada kita kenal, kita jumpa, kita bertukar fikiran.

“Macam saya, saya hadir atas jemputan supaya kita boleh faham apa realiti dalam negeri Melaka. Mungkin daripada situ kita ada idea macam mana nak gubah strategi kita dalam pilihan raya akan datang,” katanya.