Dewan Ulamak Pas desak Marhamah letak jawatan, nyatakan pendirian isu New Age Movement

​KUALA TERENGGANU - Dewan Ulamak Pas Pusat mendesak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli supaya segera meletakkan jawatan sekiranya gagal menyatakan pendirian jelas secara jujur dan terbuka berhubung kaitan beliau dengan ajaran New Age Movement (NAM).

​Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Ahad yang mengesahkan wujudnya siasatan dan pertemuan berhubung isu penyebaran unsur NAM yang dikaitkan secara langsung dengan pemimpin berkenaan.

​Beliau menegaskan, walaupun Jakim menyatakan teguran, nasihat dan panduan telah diberikan kepada Timbalan Menteri tersebut, isu yang menyentuh soal akidah umat Islam tidak boleh dipandang remeh atau diselesaikan di belakang pintu tertutup.

​"Hal ini lebih kritikal memandangkan ia melibatkan pemegang amanah di peringkat pentadbiran negara yang portfolionya menjaga hal ehwal agama Islam di Malaysia.

​"Setakat kenyataan beliau yang terkini, beliau dilihat masih mengelak dan bermain tarik tali dalam isu yang sangat kritikal ini. Kesucian akidah adalah garis merah yang tidak boleh dipertaruhkan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Ahad, Jakim memaklumkan telah mengadakan sesi pertemuan dan 'tabayyun' bersama Marhamah dan sesi tersebut turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah (PPA) Jakim serta pihak berkaitan.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pertemuan itu diadakan bagi memastikan isu berkenaan diteliti berdasarkan disiplin akidah, autoriti agama dan latar pemikiran NAM.

Isu penularan fahaman NAM pernah dibangkitkan oleh Jabatan Mufti Pahang tahun lalu apabila ia mula menyusup ke dalam masyarakat Islam melalui platform motivasi, pembangunan diri, rawatan alternatif dan pembangunan spiritual.

​Muftinya, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim dilaporkan berkata, gerakan tersebut mudah meresap ke dalam kursus pembangunan kendiri, seminar 'healing' dan latihan minda yang kelihatan seolah-olah neutral, namun sebenarnya membawa ajaran terpesong daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Mohd Nor Hamzah berkata, pemimpin terbabit perlu disiasat secara terperinci dan telus oleh pihak penguat kuasa agama bahagian ajaran sesat, selain diwajibkan melalui proses kaunseling pemulihan serta menyatakan taubat secara rasmi sekiranya terbukti wujud penyelewengan akidah bagi membersihkan imej institusi agama negara.

​Beliau berkata, Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) digesa segera campur tangan memandangkan majoriti umat Islam kini berada dalam keadaan resah dan gusar dengan dakwaan yang wujud serta sikap Timbalan Menteri yang terus meragukan.

​"Persoalan besar yang bermain di minda seluruh umat Islam pada hari ini ialah bagaimana umat Islam di Malaysia boleh berasa selamat dan aman jika urusan agama peringkat persekutuan dipimpin oleh orang yang diragui dan dipertikaikan akidahnya?

"Kerajaan mesti bertindak segera demi memelihara kesucian Islam di negara ini," ujar beliau.