UMNO-Pas perlu duduk berunding, elak pertembungan kerusi - Noh Omar

JOHOR BAHRU - UMNO dan Pas wajar mengadakan rundingan strategik bagi mengelak pertembungan kerusi antara kedua-dua parti pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata, ini kerana peluang memperoleh kemenangan lebih besar sekiranya formula kerjasama atau persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam dua pilihan raya sebelum ini berlaku.

“Harapan kita, kedua-duanya jangan bertembung. Perjuangan saya ialah UMNO dan Pas tidak bertembung antara satu sama lain.

“Jika ini boleh dilaksanakan, sudah pasti akan membawa semangat baharu,” katanya selepas merasmikan Program Kejohanan Arowana Emas Pertama Malaysia 2026 di pusat membeli-belah R&F, di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pihaknya belum memulakan rundingan mana-mana parti termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Namun, timbul jangkaan BN dan PN akan meneruskan kerjasama politik berikutan perkembangan positif kedua-dua gabungan itu semasa PRN Johor serta Negeri Sembilan.

Ab Rauf turut menjelaskan, BN mahu mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dimenangi sebelum ini dan menjadi syarat utama yang perlu dipatuhi mana-mana pihak jika mahu membentuk kerjasama pada PRN Melaka.

Noh berpandangan, sebarang rundingan kerjasama UMNO dan Pas juga tidak wajar didedahkan lebih awal bagi mengelak pihak lawan mengatur strategi tersendiri.

“Bagi saya, lebih baik beritahu kemudian sebab kalau pihak lawan tahu lebih awal, mereka pasti menyusun strategi balas,” ujarnya.

Ditanya mengenai kemungkinan beliau bertanding pada PRU akan datang, beliau berkata, perkara itu bukan keutamaannya ketika ini.

“Sebab itu hingga sekarang saya tak fikir pasal bertanding. Saya sekarang ini fikir macam mana nak bagi parti menang,” katanya.