KUANTAN - Pas Pahang bersedia meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul dan Lepar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 (PRN16).
Pesuruhjaya negeri, Datuk Rosli Abdul Jabar berkata, kedua-dua kerusi berkenaan dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun perkembangan politik semasa menyebabkan kedudukan kerusi terbabit kembali menjadi perhatian.
Menurutnya, selepas berlaku perpecahan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan tersebut menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri.
"Tiada gabungan lagi antara Pas dan Bersatu bererti parti apa pun berhak untuk bertanding di dua kerusi tersebut.
"Oleh kerana kemenangan di dua kerusi tersebut adalah atas jenama PN, maka Pas juga berhak untuk meletakkan calon di kerusi tersebut pada PRN16.
"Apatah lagi sebahagian besar jentera yang bertugas untuk kemenangan PN di kerusi tersebut pada PRU yang lalu adalah jentera Pas," katanya.
Pada PRU15, calon PN, Datuk Jasri Jamaludin memenangi DUN Kuala Sentul dengan memperoleh 6,016 undi, menewaskan calon BN, Khairuddin Ali yang mendapat 5,775 undi dengan majoriti 241 undi.
Bagi DUN Lepar pula, Mohd Yazid Mohd Yunus memperoleh 8,436 undi untuk menewaskan calon BN, Datuk Abd Rahim Muda yang meraih 8,017 undi dengan majoriti 419 undi.
Bagaimanapun, pada Ogos lalu, Jasri dan Mohd Yazid yang merupakan ADUN Bersatu menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sehingga PRN16.
Kedua-duanya berkata, keputusan itu dibuat bagi menjamin kestabilan politik serta memelihara kebajikan rakyat di kawasan masing-masing.
Mengulas persiapan parti Rosli berkata, Pas Pahang sudah menyusun strategi termasuk melaksanakan beberapa program gerak gempur di kedua-dua kawasan berkenaan.
Tambahnya, parti itu juga telah membuat persiapan rapi untuk bertanding di kerusi tersebut.
"Jentera, dana, jadual gerak kerja termasuklah calon terbaik untuk bertanding di DUN tersebut dalam keadaan yang bersedia.
"Kita yakin, sokongan pengundi Kuala Sentul dan Lepar akan berpihak kepada Pas kerana melihat prestasi semua ADUN dan Ahli Parlimen Pas Pahang sangat komited dengan amanah yang diberikan meskipun mempunyai dana yang terhad," jelasnya.