Pas kesal UMNO Pulau Pinang terus perkukuh kerjasama PH-BN

GEORGE TOWN - Pas Pulau Pinang mempersoalkan pendirian UMNO negeri yang mahu meneruskan dan memperkukuh kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pentadbiran kerajaan negeri ketika parti itu berdepan desakan supaya kedudukannya ditamatkan.

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, kenyataan Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Datuk Rashidi Zinol pada 22 September lalu yang menggesa kerjasama PH-BN terus diperkukuh dilihat tidak selari dengan usaha penyatuan ummah yang sepatutnya menjadi agenda utama orang Melayu dan Islam.

Beliau berkata, perkara itu lebih mengecewakan apabila kedudukan UMNO dalam kerajaan negeri turut menjadi persoalan susulan gesaan Penasihat DAP, Lim Guan Eng supaya parti berkenaan disingkirkan daripada pentadbiran Pulau Pinang.

“Pas Pulau Pinang menzahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Exco Kerajaan Negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal itu.

“Pada masa sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pula menyerahkan nasib wakil BN itu kepada keputusan Majlis Presiden PH,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada 22 September lalu, Rashidi yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan berkata, kerjasama PH-BN di Pulau Pinang perlu terus diperkukuh bagi memastikan kestabilan pentadbiran serta kepentingan rakyat.

Rashidi berkata, hubungan kerja antara beliau dengan pimpinan PKR dan DAP sepanjang kira-kira tiga tahun dalam pentadbiran negeri berjalan baik berasaskan sikap saling menghormati, persefahaman dan komunikasi yang baik.

Dalam pada itu, menurut Muhammad Fawwaz, UMNO ketika ini hanya mempunyai satu wakil Exco dalam kerajaan negeri dan kedudukan berkenaan bergantung kepada keputusan PH.

Katanya, perkembangan di Negeri Sembilan yang menyaksikan BN membuka ruang kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pula menunjukkan kerjasama antara parti politik boleh dibentuk sekiranya wujud kemahuan politik.

“Justeru, Pas Pulau Pinang mempersoalkan mengapa pimpinan UMNO negeri masih memilih untuk menjadi pelengkap kepada pentadbiran PH-DAP.

“Mereka sepatutnya bersama-sama membina kekuatan ummah demi masa depan Pulau Pinang,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Fawwaz berkata, Pas Pulau Pinang menghormati pendirian politik UMNO negeri berhubung perkara itu.

Beliau turut berkata bahawa pintu dialog Pas sentiasa terbuka termasuk dalam usaha membincangkan soal penyatuan dan masa depan politik negeri.

“Walau apa pun, rakyat akan menilai sendiri siapa yang benar-benar berjuang menyelamatkan Pulau Pinang dan Malaysia, dan siapa yang sekadar selesa dengan jawatan,” katanya.

Pada 8 Ogos lalu, Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang mengumumkan keputusan gabungan itu untuk mengekalkan Rashidi sebagai Exco BN dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga PRU akan datang, selaras dengan persefahaman kerjasama yang terjalin pada PRN 2023.

Menurut Kon Yeow, kesepakatan itu termasuk mengekalkan Rashidi dalam pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang selaras dengan persefahaman kerjasama atau 'electoral pact' yang terjalin ketika PRN 2023.