Bersatu terima notis RoS berhubung status PN - Mohamed Azmin

KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan menerima notis daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung penjelasan berkaitan status pembatalan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, notis berkenaan diterima Bersatu pada petang Rabu.

“Bersatu telah menerima perintah bertulis daripada RoS bertarikh 23 September pada petang ini,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang berkata, parti itu akan meneliti kandungan notis berkenaan sebelum membuat sebarang kenyataan lanjut.

Ditanya sama ada terdapat kandungan lain dalam notis RoS itu selain perkara berkaitan pembatalan PN, beliau enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan terdapat mesyuarat tergempar PN malam ini, beliau berkata tidak mengetahui mengenai perkara berkenaan.

Terdahulu, beberapa media melaporkan tular satu tangkap layar didakwa surat pembatalan pertubuhan PN yang dikeluarkan oleh RoS.

Notis bertarikh 22 September 2026 itu difahamkan memberi tempoh 30 hari kepada Pengerusi PN untuk mengemukakan representasi kepada RoS.

RoS sebelum ini mengesahkan menerima aduan rasmi Bersatu pada 11 Ogos lalu antaranya berkaitan dakwaan parti itu tidak dibabitkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai dan isu status keanggotaannya dalam gabungan itu. - Awani