SHAH ALAM – Jentera Pakatan Harapan (PH), khususnya Parti Amanah Negara (Amanah), diingatkan supaya membawa pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin serta tidak menjadikan perbezaan kaum dan agama sebagai bahan untuk mencetuskan kebencian sepanjang persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan suasana politik yang harmoni serta mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.
“Saya menyeru seluruh jentera Pakatan Harapan, khususnya daripada Amanah di semua peringkat supaya mula turun ke lapangan dan menggerakkan segala persiapan yang diperlukan.
“Kepada seluruh jentera, bergeraklah sebagai satu pasukan dengan penuh disiplin, amanah dan semangat kebersamaan.
“Besar atau kecil peranan yang dimainkan, setiap tenaga dan sumbangan amat diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa Rabu bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.
Mengulas lanjut, Mohamad turut mengingatkan ahli parti supaya memperkukuh kesabaran, menjaga disiplin serta sentiasa bersedia menghadapi cabaran sepanjang tempoh berkempen.
“Semoga segala usaha dan kerja keras kita membuahkan kejayaan buat Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri Melaka nanti,” katanya.