'Anthony Loke betul mahu berhenti atau drama?' - Fadhli Shaari

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyindir Anthony Loke yang masih meneruskan tugas rasmi sebagai Menteri Pengangkutan meskipun telah mengumumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, walaupun masih sah sebagai menteri selagi peletakan jawatannya belum berkuat kuasa, tindakan itu menimbulkan persoalan dari sudut tatakelola.

"Apabila seorang menteri sudah mengumumkan mahu berundur atas dasar prinsip, sewajarnya tindakannya selepas itu turut menggambarkan bahawa beliau sedang menuju pintu keluar.

"Urusan rutin dan perkara mendesak tentulah perlu diteruskan, tetapi keputusan atau komitmen baharu yang mempunyai kesan selepas beliau berundur sepatutnya dibuat dengan lebih berhati hati.

"Kalau tidak mendesak, apa salahnya diserahkan kepada pengganti?," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sabtu lalu, Anthony yang juga Setiausaha Agung DAPmengumumkan beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai reaksi parti terhadap keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Keputusan itu dibuat selepas cadangan peletakan jawatan berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, sekiranya mahu berundur atas prinsip, Anthony perlu lakukannya dengan teratur dengan urusan besar diserahkan kepada pengganti.

"Mungkin selepas ini kita perlu memahami bahawa perkataan 'resign' dalam politik mempunyai maksud yang agak fleksibel.

"Umum hendak berhenti dahulu, teruskan lawatan rasmi, bermesyuarat, tandatangan MoU, selesaikan jadual, kemudian balik baru urus soal berhenti.

"Rajin memang rajin, cuma kalau sudah hendak keluar rumah, pelik juga kalau sempat tambah perabot baharu sebelum serahkan kunci," katanya lagi.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mempersoalkan kelulusan terhadap projek pengangkutan melibatkan Laluan Transkit Aliran Ringan (LRT), pembesaran lapangan terbang, pelabuhan dan lain-lain bernilai RM21 bilion untuk Pulau Pinang.

"RM21 bilion untuk Pulau Pinang sahaja memang angka yang besar. Kalau satu negeri boleh menerima projek pengangkutan sebanyak itu, tentu menarik juga kalau Kementerian Pengangkutan mendedahkan angka mengikut negeri supaya rakyat boleh membuat perbandingan yang adil.

"Pulau Pinang bukannya terlalu berbeza daripada negeri negeri lain kecuali satu perkara yang sangat mudah dilihat iaitu kerajaan negerinya diterajui DAP.

"Sebab itu ketelusan angka mengikut negeri penting supaya tidak timbul persoalan sama ada 'kerajinan' seorang menteri turut mempunyai sempadan politik," katanya.